Pelancong SG diberkas di Thailand kerana terbangkan dron di tengah larangan seluruh negara
Seorang pelancong warga Singapura diberkas di Thailand kerana menerbangkan dron di sebuah tempat hiburan popular di Pattaya di tengah-tengah larangan terhadap penerbangan dron yang dikuatkuasakan di seluruh negara itu disebabkan oleh pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja.
Penguasa Penerbangan Awam Thailand mengeluarkan larangan sementara terhadap penerbangan dron berkuat kuasa 30 Julai sehingga sekurang-kurangnya 15 Ogos. (Gambar: Shutterstock)
Goh, 44 tahun, didapati menerbangkan dron di Walking Street di Pattaya yang terletak kira-kira 150 kilometer dari selatan ibu kota Bangkok selepas waktu tengah malam pada Khamis, lapor Amarin TV, yang dinukil oleh South China Morning Post.
Oleh kerana dia gagal menunjukkan sebarang permit untuk menerbangkan dron, Goh diberkas dan dibawa ke sebuah balai polis di Pattaya.
Polis turut merampas dron, alat kawalan jauh, kaca mata dron dan bateri ganti.
Bercakap menerusi seorang penterjemah, Goh memberitahu polis bahawa dia mahu memetik gambar suasana hiburan malam hari dari sudut yang tinggi di kawasan itu, lapor South China Morning Post.
Goh juga berkata dia tidak tahu- menahu mengenai penguatkuasaan larangan penerbangan dron itu.
Polis kemudian merakam penangkapan itu dan memfailkan tuduhan terhadap Goh.
Selang beberapa hari sebelum Goh diberkas, seorang lagi pelancong turut diberkas atas kesalahan yang serupa.
Seorang pelancong warga Sweden berusia 28 tahun diberkas kerana menerbangkan dron di pantai Pattaya pada Sabtu (2 Ogos) dan dibawa ke balai polis yang sama, menurut akhbar Khao Sod.
Dronnya dirampas tetapi pelancong itu kemudian diberkas selepas diberikan amaran.
Walaupun Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan gencatan senjata pada 28 Julai lalu, ketegangan masih meruncing antara kedua-dua negara itu, lapor South China Morning Post.
Penguasa Penerbangan Awam Thailand mengeluarkan larangan sementara terhadap penerbangan dron berkuat kuasa 30 Julai sehingga sekurang-kurangnya 15 Ogos atas kebimbangan Kemboja mungkin menggunakan dron untuk memantau pergerakan tentera atau kemudahan tentera.
Mereka yang didapati menerbangkan dron di Thailand sepanjang tempoh itu boleh didenda sehingga 40,000 baht (S$1,589) atau hukuman penjara maksimum selama setahun, atau kedua-duanya sekali, menurut bilik berita online rasmi Penguasa Pelancongan Thailand.
Pasukan tentera dan keselamatan juga diberi kuasa untuk merampas sebarang dron yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.