Skip to main content

Dunia

Pelancong Perancis maut di Amerika Syarikat, suhu cecah 46 darjah Celsius

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong Perancis maut di Amerika Syarikat, suhu cecah 46 darjah Celsius

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 11:51AM
  • Seorang lelaki Perancis berusia 68 tahun maut akibat cuaca panas melampau selepas keretanya terkandas di kawasan terpencil Death Valley, California.
  • Beliau dan rakannya berjalan kaki untuk mencari bantuan ketika suhu mencecah 46 darjah Celsius, namun mangsa berhenti selepas dua kilometer manakala rakannya selamat.
  • Pihak berkuasa taman negara melancarkan operasi mencari, tetapi gagal menyelamatkan mangsa, dan Penguasa Taman Negara, Mike Reynolds, mengingatkan bahaya kawasan tersebut.
  • Pelawat diingatkan supaya berhati-hati, membawa air secukupnya, dan tidak berjalan kaki di kawasan terbuka jika terkandas, kerana Death Valley terkenal dengan suhu ekstrem dan kawasan terpencil.
Dijana oleh AI
LOS ANGELES: Seorang lelaki Perancis berusia 68 tahun maut dalam keadaan cuaca panas melampau apabila keretanya terkandas di Death Valley, destinasi pelancongan popular di California, menurut pihak berkuasa taman negara itu pada Sabtu (22 Ogos), lapor agensi berita Jerman dpa.

Lelaki itu dan seorang rakannya terkandas di dalam kereta di jalan terpencil dalam taman negara tersebut, kata renjer.

Mereka kemudian berjalan kaki melintasi dataran garam untuk sampai ke jalan raya yang lebih sibuk pada hari ketika suhu mencecah 46 darjah Celsius.

Lelaki berusia 68 tahun itu berhenti selepas dua kilometer manakala rakannya sampai ke jalan raya dan dibantu seorang pemandu.

Renjer taman melancarkan usaha mencarinya tetapi terlambat untuk menyelamatkan nyawa lelaki berkenaan.  

"Ini peringatan yang menyayat hati tentang betapa cepatnya keadaan di sini boleh bertukar menjadi berbahaya," kata Penguasa Taman Negara Death Valley, Mike Reynolds, yang turut mengucapkan takziah.

"Death Valley ialah tempat yang luar biasa, tetapi kepanasan, jarak dan kawasannya yang terpencil boleh menjadi berbahaya, tanpa mengira pengalaman.

Kami berterima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam pencarian itu dan ingatan kami bersama orang tersayang mangsa."

Perkhidmatan taman itu juga memberi amaran kepada para pelawat tentang suhu tinggi musim panas yang melampau di Death Valley dan menggesa mereka supaya berhati-hati, dengan menyatakan telefon bimbit tidak berfungsi di banyak bahagian taman tersebut.

Sesetengah jalan hanya sesuai untuk kenderaan lasak. 

Orang ramai dinasihatkan agar membawa air secukupnya dan jika kereta mereka rosak, secara amnya adalah lebih selamat untuk mencari perlindungan di tempat yang boleh dilihat pasukan pencari berbanding berjalan kaki di kawasan terbuka.

Death Valley adalah antara tempat paling panas di bumi. Bahagian yang terletak 86 meter di bawah paras laut juga merupakan tempat paling rendah dan paling kering di Amerika Utara.

Menurut ramalan cuaca, suhu di kawasan itu boleh meningkat kepada lebih 47 darjah Celsius pada hujung minggu ini.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita