Pelancong Malaysia dibakar di Bangkok: Keluarga mohon mangsa dibawa pulang segera
Keluarga kepada dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian di Bangkok pada Khamis (7 Ogos) meminta pihak berkuasa Thailand agar membenarkan mereka dibawa pulang ke Malaysia sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
Petikan dari video yang tular.
Dua rakyat Malaysia itu, yang dikenali sebagai Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya, Ong Yik Leong, 26, diserang oleh seorang penganggur yang didakwa menyimbah pencair sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri sekitar pukul 10 malam pada Khamis.
Gan Kin In, 80, berkata anak perempuannya tiba di Bangkok pada Rabu lalu (6 Ogos) untuk bercuti, sehari sebelum kejadian berlaku.
“Hati saya berasa tidak sedap apabila Xiao Zhen memberitahu minggu lalu bahawa dia merancang untuk bercuti ke Thailand bersama teman lelakinya."
Beliau berkata, kedua-dua keluarga meminta laporan perubatan mengenai keadaan mangsa semasa taklimat ringkas dengan pihak berkuasa Thailand dan kakitangan perubatan hospital.
Cik Gan menambah, keluarganya berharap mangsa dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin berikutan kekangan penginapan di negara asing.
“Kami baru tiba di Bangkok petang ini, dan pihak berkuasa Thailand telah mengaturkan taklimat serta lawatan untuk kami. Selain itu, kami juga berharap laporan perubatan dapat diberikan supaya kami boleh merujuk kepada doktor di Malaysia mengenai keadaan mereka atau kemungkinan membawa mereka pulang dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata anaknya kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran.
Beliau mengalami 36 peratus lecur tahap kedua pada muka, dada dan lengan.
“Dia sedar, berada dalam keadaan stabil dan berkomunikasi dengan menulis. Doktor memaklumkan dia mungkin memerlukan kira-kira sebulan untuk pulih,” katanya.
Sementara itu, Encik Ong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Besar Polis juga berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian pada Khamis, pasangan itu dibakar oleh seorang lelaki berusia 30 tahun dari wilayah Sa Kaeo, yang kemudian ditahan orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.