Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelancong India pula dakwa jadi mangsa Jabatan Imigresen M'sia

Jabatan Imigresen Malaysia sekali lagi mendapat perhatian selepas seorang pelancong warga India didakwa dihantar pulang ke negara asal tanpa sebarang alasan kukuh, lapor Malaysiakini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong India pula dakwa jadi mangsa Jabatan Imigresen M'sia

Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). (Gambar: Lai Seng Sin/Reuters)

Diterbitkan : 24 Jan 2019 10:23AM Dikemas Kini : 24 Jan 2019 10:27AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia sekali lagi mendapat perhatian selepas seorang pelancong warga India didakwa dihantar pulang ke negara asal tanpa sebarang alasan kukuh, lapor Malaysiakini.

K Sivakumar, seorang ahli perniagaan, berkata beliau terkejut apabila para pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menghantar balik sepupunya ke India pada Sabtu (19 Jan) semata-mata kerana jumlah wang yang dibawanya, iaitu RM2,000 (S$660), tidak mencukupi.

Encik Sivakumar memberitahu para wartawan bahawa sepupunya melakukan lawatan ke Malaysia dengan tujuan untuk melancong serta menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Saya sendiri menguruskan persiapan perjalanan beliau. Beliau sepatutnya ke Malaysia pada 18 Januari untuk menghadiri Perayaan Thaipusam di Malaysia sebelum pulang pada 28 Januari ini. Saya sendiri ke KLIA2 untuk menjemput beliau," katanya pada Rabu (23 Jan), seperti yang dipetik oleh Malaysiakini.

Menurut Encik Sivakumar, sepupunya ditahan oleh Jabatan Imigresen di KLIA2 sebaik sahaja beliau tiba di lapangan terbang itu.

Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata: "Ketika, saya menghubungi melalui telefon, saya diberitahu bahawa sepupu saya tidak membawa wang yang mencukupi untuk memasuki Malaysia. Saya terkejut dengan alasan tersebut kerana saya sangat pasti sepupu saya itu ada RM2,000 (S$660) yang ditukar sebelum dia terbang dari India."

Encik Sivakumar berkata beliau juga tidak dibenarkan berjumpa dengan sepupunya yang tidak fasih berbual dalam bahasa Melayu atau Inggeris sepanjang siasatan itu dijalankan.

"Permintaan saya sebanyak tiga kali melalui telefon ditolak. Sepupu saya tetap dihantar pulang ke India pada hari Sabtu. Saya percaya perkara ini tidak berlaku sekiranya pegawai imigresen membenarkan saya ke pejabatnya. Insiden ini juga dapat dielakkan sekiranya pegawai imigresen itu fasih berbahasa Tamil ketika siasat kes ini," katanya.

Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Sivakumar sudahpun membuat aduan polis mengenai perkara tersebut.

"Pada pendapat saya, pelancong-pelancong dari negara-negara dunia ketiga seperti India, China, Bangladesh dan lain-lain sering menjadi mangsa kerana isu komunikasi dan sering dipandang rendah oleh segelintir pegawai di Malaysia.

“Pelancong dari negara-negara miskin bukan bermaksud mereka tidak mempunyai wang dan boleh dilayan sesuka hati. Mereka juga manusia seperti kita.

"Dalam kes ini, sepupu saya jelas dianiayai oleh jabatan imigresen. Beliau dalam trauma selepas ditahan lebih 24 jam dan membazir wangnya dengan membeli tiket, visa dan sebagainya," tambahnya.

DIBULI, DIUGUT PEGAWAI JABATAN IMIGRESEN

Pada Isnin (21 Jan), seorang penyelidik politik dari Perancis tampil bagi mendakwa dirinya menjadi mangsa buli serta diugut oleh para pegawai Jabatan Imigresen sejurus selepas beliau tiba di KLIA2.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Sophie Lemiere didakwa dirinya ditahan selepas dimaklumkan bahawa nama beliau ditandakan dalam senarai polis.

“Apabila saya tiba di kaunter Imigresen, pegawai itu memandang pasport saya dan kemudian memeriksa rekod saya. Dia berkata ada masalah.

“Saya menjelaskan kepada beliau bahawa saya datang untuk hadir persidangan dan menyebut bahawa saya tahu nama saya telah ditandakan oleh polis kerana penyelidikan saya ketika (era) kerajaan terdahulu,” katanya.

Sementara itu, peguam N. Surendran berkata dakwaan gangguan terhadap Cik Lemiere adalah serius kerana beliau merupakan ahli akademik terkenal yang mengkaji politik Malaysia bagi suatu jangka masa yang lama, lapor Malaysiakini. 

Encik Surendran berharap pihak berkuasa termasuk Menteri Dalam Negeri Malaysia, Muhyiddin Yassin, akan menjalankan siasatan mengenai insiden tersebut.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan