Skip to main content

Dunia

Pelan pindahkan rakyat Palestin dari Gaza sudah tersedia: Menteri Pertahanan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
 Pelan pindahkan rakyat Palestin dari Gaza sudah tersedia: Menteri Pertahanan Israel

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada awal penggal keduanya, mengejutkan sebahagian besar dunia dengan menyeru agar semua dua juta rakyat Palestin meninggalkan Carikan Gaza. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 10:32PM
JERUSALEM: Israel sudah menyediakan rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Carikan Gaza tetapi menunggu Amerika Syarikat menentukan di mana mereka akan ditempatkan, kata Menteri Pertahanan Israel pada Rabu (2 Sep).

“Tiada penyelesaian sebenar untuk Gaza pada akhirnya tanpa penghijrahan ini,” kata Menteri Pertahanan Israel Israel Katz semasa satu persidangan anjuran laman berita Israel Ynet dan akhbar Yedioth Ahronoth.

Pemerintah Israel “tersusun dan bersedia untuk mengeluarkan mereka - melalui laut, udara dan setiap cara yang mungkin”, katanya.

Kedutaan Amerika Syarikat merujuk permintaan untuk mendapatkan komen kepada Jabatan Negara di Washington.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, pada awal penggal keduanya, mengejutkan banyak pihak di seluruh dunia apabila mencadangkan agar kesemua dua juta rakyat Palestin meninggalkan Carikan Gaza.

Encik Trump bercakap mengenai pembangunan wilayah yang musnah akibat pengeboman Israel sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 itu, sebagai destinasi peranginan mewah.

Beliau kemudian menarik balik cadangan itu berikutan tentangan hebat termasuk daripada Mesir, satu-satunya negara selain Israel yang bersempadan dengan Gaza.

Cadangan tersebut turut dikecam rakyat Palestin sendiri, yang menganggap sebarang usaha untuk memaksa mereka meninggalkan tanah air mereka sebagai mengingatkan kepada “Nakba”, atau malapetaka -- perpindahan besar-besaran mereka ketika penubuhan Israel pada 1948.

Ketika mengumumkan gencatan senjata perang di Gaza pada Oktober, Trump menggariskan 20 perkara untuk wilayah itu yang termasuk tiada pemindahan secara paksa.

Encik Katz, yang terkenal dengan kenyataan lantangnya, berkata Encik Trump hanya “membekukan” cadangan itu ketika beliau mencari negara yang bersedia menerima rakyat Palestin, kerana Mesir bukan pilihan.

“Pelan itu tidak dibatalkan; ia sentiasa dibincangkan, termasuk sekarang, dan saya fikir tiada penyelesaian lain demi kebaikan semua pihak,” katanya.

“Namun untuk melaksanakannya, kami memerlukan Amerika Syarikat. Bilakah kami akan mendapat kelulusan mereka? Apabila jelas bahawa Hamas tidak memenuhi kewajipannya di bawah gencatan senjata," katanya.

Encik Katz, tanpa menyatakan sumbernya, berkata 80 peratus penduduk Gaza mahu meninggalkan wilayah itu tetapi Hamas menghalang mereka.

Pemindahan secara paksa orang awam di wilayah yang diduduki dianggap sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pemimpin sebelum Encik Katz, Encik Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang, yang dinafikan Israel dan Amerika Syarikat.

Serangan Israel sudah menyebabkan sebahagian besar penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di dalam wilayah itu selepas serangan Hamas yang belum pernah berlaku sebelum ini, mengorbankan 1,221 orang, menurut angka rasmi Israel.

Serangan Israel sejak itu meragut 73,470 nyawa di Gaza, termasuk lebih 1,330 orang sejak gencatan senjata, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Sumber : AFP/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita