Skip to main content

Dunia

Pelan damai Gaza usulan Trump berisiko tingkatkan penindasan penduduk Palestin

Berpuluh-puluh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Jumaat (3 Okt) bahawa unsur-unsur penting dalam pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa dan berisiko meningkatkan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan damai Gaza usulan Trump berisiko tingkatkan penindasan penduduk Palestin

Seorang penduuk Palestin membantu seorang wanita berkerusi roda bergerak ke selatan susulan arahan pemindahan Israel, di tengah-tengah operasi tentera Israel, di Gaza City, pada 2 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Ebrahim Hajjaj)

Diterbitkan : 04 Oct 2025 08:17AM
GENEVA: Berpuluh-puluh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Jumaat (3 Okt) bahawa unsur-unsur penting dalam pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa dan berisiko meningkatkan penindasan terhadap rakyat Palestin.

"Memaksa keamanan segera pada apa jua harga, tanpa menghiraukan undang-undang dan keadilan atau menentangnya secara terang-terangan, akan membawa kepada ketidakadilan lebih lanjut, keganasan pada masa hadapan dan ketidakstabilan," kata 35 pakar bebas PBB dalam satu kenyataan.

Mereka menyuarakan kebimbangan serius mengenai lebih 12 aspek berhubung dokumen yang mengandungi 20 perkara yang diumumkan oleh presiden Amerika Syarikat pada minggu lalu, yang turut disokong oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Para pakar, yang diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB namun tidak mewakili pihaknya, berkata mereka “menyambut baik sebahagian daripada pelan damai itu”.

Mereka mengalu-alukan tuntutan bagi gencatan senjata berkekalan, pembebasan segera mereka yang ditahan secara tidak sah, serta kemasukan bantuan.

Mereka juga menyambut baik gesaan agar tiada pemindahan secara paksa di Gaza, tiada penggabungan wilayah dan pengunduran tentera Israel.

Namun begitu, mereka memberi amaran bahawa unsur-unsur lain dalam pelan tersebut “sangat bercanggahan dengan prinsip asas undang-undang antarabangsa”.

Para pakar tersebut termasuk Francesca Albanese, pelapor khas berhubung hak di wilayah Palestin, menegaskan bahawa sebarang pelan damai perlu menjamin penentuan nasib sendiri serta kebertanggungjawaban, dan “tidak mewujudkan lagi syarat-syarat penindasan”.

Mereka mengecam pelan untuk menubuhkan sebuah “Lembaga Damai” peralihan di Gaza, yang akan dipengerusikan sendiri oleh Encik Trump, dan berkata ia “malangnya serupa dengan amalan zaman kolonial dan harus ditolak”.

Selain itu, mereka turut menegaskan “Pasukan Penstabilan Antarabangsa” yang dicadangkan “akan menggantikan pendudukan Israel dengan pendudukan yang diterajui Amerika Syarikat, bertentangan dengan hak penentuan nasib rakyat Palestin”.

Pelan itu juga membolehkan sebahagian daripada pendudukan Israel kekal “tanpa had masa” menerusi perimeter keselamatan di dalam Gaza, sesuatu yang “tidak boleh diterima sama sekali”, kata para pakar.

Pada masa yang sama, mereka mengecam hakikat bahawa “proses bagi melumpuhkan radikalisasi hanya dikenakan ke atas Gaza”, meskipun “sentimen anti-Palestin dan anti-Arab, radikalisasi serta hasutan umum ke arah genosid menjadi ciri utama retorik dominan di Israel sepanjang dua tahun lalu”.

Para pakar turut memberi amaran bahawa “pengampunan yang ditawarkan kepada Hamas kelihatan tidak bersyarat… menafikan keadilan kepada mangsa jenayah antarabangsa”, dan pelan itu juga gagal “menangani isu kebertanggungjawaban terhadap jenayah antarabangsa dan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel”.

“Masa depan Palestin mesti ditetapkan oleh rakyat Palestin,” tegas para pakar tersebut.

“Bukan dikenakan oleh orang luar di bawah keadaan paksaan di bawah satu lagi skim untuk mengawal masa depan mereka.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita