Skip to main content

Dunia

Pelakon Nadia Kesuma hilang di Jeddah, keluarga buat aduan polis

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon Nadia Kesuma hilang di Jeddah, keluarga buat aduan polis
(Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 17 Jan 2026 09:55PM Dikemas Kini : 17 Jan 2026 09:56PM
  • Nadia Kesuma dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 15 Januari selepas gagal dikesan semasa transit ke London.
  • Laporan polis dibuat oleh adik pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Negeri Sembilan, dan siasatan sedang dijalankan oleh PDRM serta Konsulat Malaysia di Arab Saudi.
  • Suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul, merayu kerajaan mempercepatkan usaha diplomatik untuk membantu pencarian isterinya, dengan bantuan Wisma Putra dan Konsulat Malaysia.
  • Keluarga menggunakan aplikasi penjejak untuk mencari lokasi Nadia, namun bateri telefon beliau semakin lemah, sementara pelakon itu menyertai kumpulan umrah dan ziarah dari 14 hingga 28 Januari.
Dijana oleh AI
SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan kes kehilangan pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi pada Khamis (15 Jan).

Aduan polis mengenai kehilangan wanita dengan nama sebenar Nadia Kasumawati Abdul Karim itu dibuat ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Negeri Sembilan semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi ketika dihubungi, berkata laporan dibuat lelaki berusia 47 tahun, adik kepada pelakon itu pada jam 12.26 tengah hari selepas ahli keluarga gagal menghubunginya dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

"Pelakon berkenaan berlepas dari KLIA ke Jeddah, Arab Saudi pada 15 Januari lalu kira-kira jam 12.30 pagi. Laporan ini diklasifikasikan sebagai orang hilang dan telah dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi IPD KLIA di talian 03-8776 9222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Puvanesan Raja Segaran di talian 019-588 3034.

Sebelum ini, media melaporkan pelakon itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz pada Khamis.

Terdahulu BH Online melaporkan suami pelakon terbabit merayu kerajaan menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.

Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata keadaan ketika ini memerlukan tindakan segera diambil dan bantuan kerajaan amat diperlukan bagi membantu usaha menjejaki keberadaan Nadia Kesuma yang masih misteri.

Jelasnya, ahli keluarga isterinya telah membuat laporan kepada Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah dan kedua-dua agensi itu banyak membantu memberi bimbingan apa yang perlu dilakukan.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamarul berkata, isterinya suka mengembara dan sentiasa memaklumkan pergerakan kepadanya atau anak-anak apabila tiba di sesebuah negara.

Muhammad Kamarul dan Nadia Kesuma dikurniakan tiga cahaya mata berusia 11, 13 dan 15 tahun. Pelakon itu turut memiliki seorang anak perempuan berusia 25 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Dalam pada itu, Muhammad Kamarul berkata, anaknya juga telah menggunakan aplikasi penjejak yang menunjukkan isyarat telefon ibu mereka berada di lapangan terbang berkenaan, tetapi baterinya sudah semakin lemah.

Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita