Skip to main content

Dunia

Pelajar undang-undang M'sia gagal 18 kali sebelum akhirnya genggam ijazah

Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya, tapi seorang lepasan universiti ini mengalami kegagalan sebanyak 18 kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar undang-undang M'sia gagal 18 kali sebelum akhirnya genggam ijazah

Muhammad Rafiq Izzat Zaidi mengalami kegagalan sebanyak 18 kali sebelum raih segulung ijazah. (Gambar: Rafiq Izzat, Esq./Twitter)

Diterbitkan : 05 Oct 2019 11:33AM Dikemas Kini : 05 Oct 2019 11:39AM

MALAYSIA: Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya, tapi seorang lepasan universiti ini mengalami kegagalan sebanyak 18 kali.

Muhammad Rafiq Izzat Zaidi, 25 tahun mendedahkan kepada mStar beliau terpaksa mengharungi kegagalan sehingga tiga kali hanya untuk lulus dalam subjek tertentu.

“Tapi semakin banyak saya gagal, lebih mendalam subjek tu ingat dalam kepala saya meskipun saya terpaksa menghabiskan masa selama 11 semester.

"Saya telah gagal sebanyak 18 kali sehingga saya akhirnya tamat pengajian," tulisnya menerusi satu perkongsian di laman media sosial Twitter.

Rafiq memberitahu mStar, beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor pada 2013.

“Bila masuk universiti... saya tak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza.

“Saya bukan juga ada masalah belajar, cuma ambil masa nak faham sesuatu subjek. Sudahnya, semester pertama saya dah gagal empat subjek,” katanya kepada mStar.

Anak jati Kuantan, Pahang itu berkata, kegagalan yang banyak itu menyebabkan beliau terpaksa melalui tambahan tiga semester menjadikan 11 semester keseluruhan untuk tamat pengajian.

“Bila tengok kawan-kawan dah habis belajar sampai semester kelapan iaitu tahun keempat, saya masih lagi sambung belajar. Tengok mereka masuk bidang guaman.

“Keadaan itu memberi tekanan buat saya, selain segelintir saudara-mara sering mengajukan soalan ‘Rafiq, bila nak habis belajar? Lama sangat Rafiq kat U tu’ antara kata-kata yang menjengkelkan saya yang menambah tekanan sedia ada,” katanya kepada mStar.

Menurut Rafiq, beliau nyaris digugurkan dari pengajian selepas gagal subjek yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut tetapi bersyukur diberi peluang kedua selepas membuat rayuan.

Kegagalan demi kegagalan tidak pernah membuatkan anak sulung daripada empat beradik itu berputus asa disebabkan cita-citanya untuk bergelar seorang peguam suatu hari nanti.

“Pada satu masa, saya pernah terfikir untuk membunuh diri. Ketika itu, saya sedang memandu dan rasa nak rempuh kereta dari arah bertentangan untuk melepaskan tekanan.

“Bagaimanapun, saya tak lakukannya kerana saya fikir balik apa gunanya buat macam tu sebab bukannya dapat menyelesaikan masalah pun,” katanya kepada mStar lagi.

Rafiq berkata, keluarganya dan beberapa pensyarah antara yang memberi kekuatan kepada dirinya untuk berusaha sehabis baik untuk menamatkan pengajian.

“Malahan, kemahuan saya untuk menjadi peguam sejak di sekolah rendah membuak-buak sehingga saya tak peduli gagal banyak kali dan terus belajar dan belajar lagi,” katanya.

Rafiq akhirnya menamatkan pengajian pada awal tahun ini dan kini memulakan kerjayanya sebagai pelatih dalam kamar sebelum bergelar sebagai peguam.

“Saya syukur kerana akhirnya tamat pengajian setelah melalui tempoh kegagalan yang panjang dan terus berusaha untuk bergelar peguam dan mempunyai firma guaman sendiri.

“Ingatlah, kalau dah jatuh tujuh kali, kena bangun buat kali kelapan. Kerja keras sememangnya berhasil,” kata Rafiq.

Sumber : Agensi berita/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita