Pelajar teruja, ibu bapa syukur persekolahan kembali seperti 'biasa' di M'sia
Gambar: Bernama
KUALA LUMPUR: Memasuki hari keempat Fasa Peralihan ke Endemik di Malaysia, menyaksikan satu lagi aktiviti dalam sektor pendidikan beroperasi seperti biasa apabila bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tanpa penggiliran bagi pelajar sekolah menengah, hari ini (4 Apr).
Kebanyakan pelajar bersemangat serta teruja dapat kembali ke sekolah selepas menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah sejak COVID-19 melanda dua tahun lepas, malah golongan ibu bapa meluahkan kesyukuran kerana kehidupan anak-anak mereka sebagai pelajar akan beransur normal dalam tempoh fasa peralihan ini.
Tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang di Kuala Lumpur mendapati pelajar yang hadir ke sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka.
Seorang bapa Rajakumaran, 64 tahun, meluahkan kegembiraan dan lega apabila anaknya, R. Devandran, 16 tahun, dapat kembali menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka yang dilihat mampu memberi semangat baharu untuk anaknya meneruskan pelajaran.
Katanya, anaknya yang belajar di SMK Bandar Baru Ampang itu berhadapan cabaran untuk menjalani sesi pembelajaran dengan baik susulan limitasi kemudahan telefon bimbit serta capaian internet bagi menjalani sesi PdP di rumah.
"Saya bersyukur anak kembali ke sekolah. Sebelum ini saya terpaksa beli satu telefon bimbit bernilai RM600 (S$193.03) bagi memastikan anak tidak terlepas sesi pembelajaran. Mencabar kerana kami bukannya daripada keluarga yang senang," katanya kepada Bernama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.