Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelajar seronok timba teknik melukis dalam kelas tambahan YouTube Cikgu 'Melankolik Malaya'

Setiap hari Sabtu pukul 9.00 malam, Cikgu Melankolik Malaya sudah bersedia dengan peralatan melukisnya untuk bersiaran di saluran YouTube bagi berkongsi ilmu Pendidikan Seni Visual (PSV) dan berinteraksi secara langsung dengan para pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar seronok timba teknik melukis dalam kelas tambahan YouTube Cikgu 'Melankolik Malaya'

Cikgu Melankolik Malaya atau nama sebenarnya, Kamarulzaman Muhd Yunus, menggunakan platform YouTube itu sebagai kelas tambahan maya bagi para pelajarnya menimba teknik melukis. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 Jul 2021 11:01PM Dikemas Kini : 31 Jul 2021 11:06PM

PUTRAJAYA: Setiap hari Sabtu pukul 9.00 malam, Cikgu Melankolik Malaya sudah bersedia dengan peralatan melukisnya untuk bersiaran di saluran YouTube bagi berkongsi ilmu Pendidikan Seni Visual (PSV) dan berinteraksi secara langsung dengan para pelajar.

Cikgu Melankolik Malaya atau nama sebenarnya, Kamarulzaman Muhd Yunus, mengibaratkan platform YouTube itu sebagai kelas tambahan maya bagi para pelajarnya menimba teknik melukis untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Encik Kamarulzaman, seorang tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur, yang juga mempunyai pengalaman sebagai pemeriksa Kertas 2 PSV untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akan memberikan teknik-teknik yang perlu diguna pakai oleh pelajar.

“Bila saya buat 'strim langsung', pelajar-pelajar teruja untuk masuk dan kalau saya sebut nama mereka semasa sesi siaran langsung, lagi mereka gembira,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Beliau mula bersiaran di YouTube Cikgu Melankolik Malaya sejak November tahun lalu.

Menurut guru yang berusia 31 tahun itu, sesi pembelajaran di saluran Youtube Cikgu Melankolik Malaya berkenaan tidak terhad untuk dilayari pelajar sekolahnya sahaja bahkan juga pelajar lain.

Beliau berkata mereka yang menyertai sesi siaran langsung di saluran YouTube itu hanya perlu menyediakan barangan asas seperti kertas, pensil, pensil warna dan pemadam untuk belajar melukis serta mewarna.

“Sesi pembelajaran dalam YouTube adalah tidak formal seperti dalam kelas. Konsep yang saya gunakan adalah lebih santai bagi membolehkan pelajar senang faham,” katanya. Beliau menambah platform YouTube mudah diakses sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer riba.

Encik Kamarulzaman yang berasal dari Kelantan itu mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membeli peralatan seperti komputer untuk menjayakan sesi pembelajaran tersebut.

“Saya berhabis sekitar RM3,000 (S$963) bagi membeli set komputer, beli satu persatu kerana harganya bukan murah. Dan hampir tiga bulan masa diperlukan untuk dapatkan set komputer lengkap ini,” ujarnya.

Berkongsi mengenai pemilihan nama Cikgu Melankolik Malaya sebagai nama saluran YouTube beliau, Encik Kamarulzaman berkata ia kerana beliau meminati bidang sastera.

“Nama Melankolik ini saya guna masa belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris lagi dan ramai mengenali saya dengan nama itu,” kongsi beliau.

Semakan mendapati akaun YouTube Cikgu Melankolik Malaya mempunyai 503 pengikut dan menjadi tumpuan pelajar-pelajar PSV serta orang ramai yang ingin belajar melukis.

“Saya harap lebih ramai tahu ‘channel’ Cikgu Melankolik Malaya. Saya hanya  mahu meneruskan legasi dan niat murni dalam bidang PSV di Malaysia. Teruskan menyokong saya dan guru-guru PSV di Malaysia. Seni Itu Indah, Seni Untuk Semua!,” ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa