Skip to main content

Dunia

Pelajar perubatan Korea Selatan kembali ke fakulti selepas boikot 17 bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar perubatan Korea Selatan kembali ke fakulti selepas boikot 17 bulan

Mahasiswa perubatan turut menggesa pemerintah ambil langkah memulihkan jadual akademik dan tubuhkan badan perunding bagi memperbaiki sekitaran latihan untuk jangka panjang. (Gambar: Reuters)

SEOUL: Pelajar perubatan di Korea Selatan yang memboikot sesi pembelajaran bagi membantah rancangan pemerintah untuk menambah pengambilan pelajar di fakulti perubatan, pada Sabtu (12 Jul) mengumumkan mereka akan kembali ke kampus selepas hampir 17 bulan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Persatuan Pelajar Perubatan Korea membuat pengumuman itu dalam sidang media bersama jawatankuasa pendidikan dan kebajikan Parlimen serta Persatuan Perubatan Korea.

"Kami akan kembali ke kampus dengan meletakkan kepercayaan kepada Parlimen dan pemerintah, dan beriltizam untuk menormalkan semula pendidikan perubatan serta sistem penjagaan kesihatan," menurut kenyataan bersama kumpulan itu, tanpa mendedahkan tarikh sebenar kemasukan semula ke kampus.

Mereka turut menggesa pemerintah mengambil langkah untuk memulihkan jadual akademik dan menubuhkan badan perunding bagi memperbaiki persekitaran latihan perubatan dalam jangka panjang.

Pengumuman itu dibuat hampir 17 bulan selepas ribuan doktor pelatih meninggalkan tugas, manakala ramai pelajar perubatan memulakan boikot kelas sejak Februari tahun lalu, sebagai bantahan terhadap keputusan pemerintah menambah pengambilan pelajar sekolah perubatan sebanyak 2,000 orang bermula tahun ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan bahawa seramai 8,305 pelajar di 40 fakulti perubatan seluruh negara akan dikenakan penangguhan gred, yang mewajibkan mereka mengulangi tahun akademik bersama pelajar lebih muda.

Walaupun pemerintah Korea Selatan kemudian membuat pusingan U dengan memutuskan untuk mengembalikan kuota tahun 2026 kepada jumlah asal kira-kira 3,000 orang, sebahagian besar doktor pelatih dan pelajar perubatan masih belum kembali sepenuhnya ke hospital dan fakulti.
Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita