Skip to main content

Dunia

Pelajar perempuan Iran tanggalkan hijab tanda tunjuk perasaan terhadap pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:

IRAN: Para pelajar perempuan di Iran mengibarkan hijab mereka sambil melaungkan kata-kata menentang penguasa perkeranian ketika menunjukkan sokongan yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap bantahan yang melanda negara tersebut. 

Rakaman video yang disahkan BBC memaparkan tunjuk perasaan di pekarangan sekolah dan di jalan-jalan raya beberapa bandar. 

Ini menyusuli pergolakan lebih meluas yang tercetus akibat kematian seorang wanita yang ditahan kerana melanggar undang-undang hijab pada bulan lalu, lapor BBC. 

Di Karaj, pelajar perempuan dilaporkan mengusir seorang pegawai pendidikan daripada sekolah mereka.

Rakaman dimuatnaikkan ke media sosial pada Isnin (3 Okt) menunjukkan mereka menjerit "anda patut berasa malu" dan mencampakkan apa yang kelihatan seperti botol air kosong ke arah lelaki berkenaan sehingga beliau berundur melalui sebuah pintu pagar. 

Dalam satu lagi video mengenai situasi di Karaj, iaitu di bahagian barat ibu kota Tehran, para pelajar boleh didengar menjerit: "Jika kami tidak bersatu, mereka akan membunuh kami satu persatu." 

Di bandar selatan Shiraz pada Isnin,  puluhan pelajar perempuan menghalang lalu lintas di sebatang jalan raya utama sambil mengibarkan hijab mereka di udara dan menjerit mendoakan diktator mati - merujuk kepada Pemimpin Ulung Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus bagi semua perkara di negara berkenaan. 

Tunjuk perasan oleh para pelajar perempuan turut dilaporkan pada Selasa (4 Okt) di Karaj, Tehran dan bandar-bandar barat laut, Saqez serta Sanandaj, lapor BBC. 

Sesetengah pelajar bahkan turut dilihat berdiri di depan bilik darjah masing-masing tanpa memakai hijab. 

Ada juga yang menunjukkan jari tengah - isyarat lucah - ke arah gambar potret Ayatollah Khamenei dan pengasas Republik Islamik itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini.  

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita