Skip to main content

Dunia

Pelajar OKU ini cabar diri sambung pengajian ke peringkat sarjana muda

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar OKU ini cabar diri sambung pengajian ke peringkat sarjana muda

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 10 Oct 2022 10:34PM Dikemas Kini : 10 Oct 2022 10:35PM
JOHOR BAHRU: Demi mencabar diri lebih berdikari, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Psikologi Dengan Pembangunan Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Nur Hanis Zainalabidin, 19 tahun, penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan berkata kepercayaan yang diberikan ibu dan bapanya menjadi pembakar semangat sekali gus mengetepikan soal kekurangan dirinya untuk berjaya.

"Ini kali pertama saya masuk asrama dan berjauhan dari keluarga, saya rasa boleh berdikari. Kalau tidak sekarang, bila lagi (berdikari)?” kata anak bongsu daripada empat beradik itu kepada pemberita selepas Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu di UTM di Johor Bahru pada Isnin (10 Okt).

Gadis berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat dengan ketinggian 121 sentimeter itu berkata pergerakannya adalah terhad dan perlu menggunakan tongkat, serta mudah berasa penat jika berjalan lebih daripada 200 meter sehingga kadangkala boleh menyebabkan dirinya mengalami demam.

Bagaimanapun, Nur Hanis berkata keadaan itu tidak menjadi halangan bagi dirinya yang berazam mendapatkan keputusan cemerlang selain bercita-cita untuk berkhidmat dalam bidang sumber manusia.

Sementara itu, Nur Billahizzah Razib, 20 tahun, OKU penghidap cerebral palsy kerana gangguan saraf tulang belakang pula teruja serta tidak sabar untuk memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.

Anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Seri Medan, Batu Pahat itu berkata dia boleh berjalan dengan biasa, namun mudah berasa penat dan berharap dapat menjalani pengajian di universiti berkenaan dengan lancar.

“Kebiasaannya, saya akan berasa sakit jika terlalu penat seperti lenguh di bahagian belakang badan. Syukur saya dapat melanjutkan pengajian di sini kerana setiap tahun saya perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita