Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelajar M'sia di UK makin terbeban; purata bil gas & elektrik naik hingga 54%

Peningkatan 54 peratus had harga tenaga di United Kingdom (UK) bukan saja menjejaskan jutaan rakyat di negara itu, malah turut memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan pelajar-pelajar Malaysia.
 

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Peningkatan 54 peratus had harga tenaga di United Kingdom (UK) bukan saja menjejaskan jutaan rakyat di negara itu, malah turut memberi kesan yang ketara kepada perbelanjaan pelajar-pelajar Malaysia.

Pelajar jurusan perakaunan dan kewangan di Sekolah Ekonomi London (LSE), Wan Farah Afina Wan Huzairi, 23 tahun, berkata, secara purata mereka yang tinggal di London perlu membayar sekitar £55 (RM303.70) sebulan untuk gas dan elektrik.

Namun, selepas kenaikan yang ternyata mengejutkan ramai pihak itu, dia kini harus membayar £83 (RM458.31) seorang.

“We have to pay for other bills, transportation, groceries lagi setiap bulan … lebih kurang £190 (RM1,050) untuk sebulan. Memang peningkatan ini amat besar dan untuk tinggal di London harga tenaga mungkin lagi mahal berbanding di luar London,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik itu kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Perbelanjaan bulanan secara purata, jelas Wan Farah Afina, merangkumi sewa rumah sebanyak £730 (RM4,030), pengangkutan £80 (RM441), barangan keperluan serta makanan £180 (RM993), perbelanjaan lain £185 (RM1,021) dan selebihnya untuk simpanan.

Agensi berita BBC melaporkan kenaikan 54 peratus had tenaga elektrik mengakibatkan isi rumah secara purata membayar gas dan elektrik sebanyak £1,971 (RM10,883.58) setahun.

Gabenor Bank England, Andrew Bailey dilaporkan sebagai berkata, negara itu sedang menghadapi kenaikan tunggal terbesar dari harga tenaga sejak 1970-an.

Had itu ditetapkan setiap enam bulan untuk England, Wales dan Scotland khusus bagi melindungi pelanggan domestik daripada ketidakstabilan harga pukal tenaga.

Sementara itu, portal berita The Guardian melaporkan ribuan rakyat England turun ke jalan raya untuk membantah kenaikan harga tersebut dan bantahan berlaku di London, Cardiff, Birmingham serta beberapa bandar besar yang lain.

Beberapa kumpulan, termasuk Trades Union Congress dan aktivis anti-kemiskinan telah menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan itu disekalikan dengan inflasi dan gaji yang rendah, boleh memaksa rakyat membuat pilihan yang sukar – sama ada memanaskan rumah mereka atau membeli makanan.

Mengulas lanjut, Wan Farah Afina yang juga bekas ahli Majlis Perwakilan Pelajar UK dan Ireland (UKEC) berkata, setakat ini dia menerima biasiswa Petronas sebanyak £1,400 (RM7,730) sebulan.

“Pada pandangan saya, jika tiada intervensi daripada pihak kerajaan, kami perlu terus berjimat cermat untuk terus hidup di negara ini,” katanya lagi.

Bagi Presiden UKEC, Nicole Siaw Chong Lin, 21 tahun, dia turut menerima maklum balas yang sama daripada pelajar-pelajar Malaysia dan impak itu jelas lebih terasa bagi mereka yang menerima tajaan biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kata Nicole, data menunjukkan jumlah tajaan daripada kedua-dua entiti berkenaan tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak 10 tahun lalu dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelajar yang sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi di United Kingdom.

“Jadi kita bercakap tentang mereka yang tinggal di London atau Bristol, yang purata perbelanjaan untuk sara hidup jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain di negara ini.

“Malah, UKEC juga menerima maklum balas tentang bagaimana pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, khususnya dari golongan B40 … ibu bapa atau penjaga mereka sudah pasti tidak mampu untuk memberi bantuan kewangan,” katanya lagi.

Nicole, yang juga pelajar tahun kedua Jurusan Mekanikal, Imperial College berkata UKEC sudah berjumpa dengan sebilangan besar pelajar yang terkesan dengan isu tersebut, termasuk mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Jelasnya lagi, data dan maklumat itu kemudiannya akan dibawa bersama ke dalam perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.

Sumber : Agensi berita/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan