Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelajar menengah Thailand adakan bantahan antikerjaan, tuntut pembaharuan

Ribuan orang menyertai tunjuk-tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di Bangkok pada Sabtu (21 Nov). Ini bagi menuntut pembaharuan pendidikan serta tuntutan oleh gerakan yang lebih meluas yang menggesa perubahan kerajaan dan mengekang kuasa institusi diraja.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar menengah Thailand adakan bantahan antikerjaan, tuntut pembaharuan

Tunjuk perasaan di Bangkok, Thailand pada 21 Nov 20 (Gambar: AP/Sakchai Lalit)

Diterbitkan : 21 Nov 2020 10:51PM Dikemas Kini : 21 Nov 2020 10:59PM

BANGKOK: Ribuan orang menyertai tunjuk-tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di Bangkok pada Sabtu (21 Nov). Ini bagi menuntut pembaharuan pendidikan serta tuntutan oleh gerakan yang lebih meluas yang menggesa perubahan kerajaan dan mengekang kuasa institusi diraja.

Ia adalah bantahan besar pertama sejak Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha berkata pada Khamis bahawa polis akan menggunakan semua peruntukan undang-undang terhadap para penunjuk perasaan, yang membentuk cabaran terbesar kerajaan sejak bertahun-tahun.

Polis menyatakan bahawa tunjuk perasaan oleh kumpulan "pelajar nakal" boleh diteruskan, walaupun dua pemimpin remaja dipanggil pada Jumaat untuk dikenakan tuduhan di atas tunjuk perasaan sebelumnya.

"Kami di sini untuk meminta kebebasan yang diambil daripada kami dan juga pembaharuan terhadap pendidikan," kata pelajar sekolah menengah, Mameaw, 18, yang enggan memberikan nama penuhnya. "Kami mahukan sistem diraja berperlembagaan yang sebenar."

Tunjuk perasaan sejak Julai mempunyai tiga tuntutan utama: Peletakan jawatan bekas pemimpin pemerintahan tentera Encik Prayut sebagai perdana menteri, perlembagaan baru dan pembaharuan sistem beraja Raja Maha Vajiralongkorn.

Sementara itu para pelajar sekolah menengah juga menuntut kebebasan yang lebih meluas dan layanan lebih adil dalam sistem pendidikan yang mereka katakan kuno dan bertujuan terutamanya untuk memupuk kepatuhan. Ramai mengetengahkan pentingnya kesetaraan jantina.

"Saya dianiaya secara seksual oleh guru. Sekolah bukanlah tempat yang selamat," tulis satu sepanduk yang dipegang oleh seorang pelajar yang memakai pakaian seragam dengan mulutnya ditampal sebagai tanda bantahan.

Salah satu tanda pagar yang digunakan oleh kumpulan "pelajar nakal" itu pada Sabtu diterjemahkan sebagai #ByeByeDinosaurs atau Selamat Tinggal Dinosaur.

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata perdana menteri berharap para penunjuk perasaan akan menggunakan kebebasan mereka secara membina dan tidak melampaui undang-undang.

PM Prayut sudahpun menolak tuntutan para penunjuk perasaan agar meletakkan jawatan serta dakwaan mereka bahawa beliau merancang pilihan raya tahun lalu untuk mengekalkan kuasa yang pertama kali dirampasnya dari pemerintah yang dipilih pada 2014. Istana Diraja tidak memberikan sebarang ulasan sejak tunjuk perasaan itu bermula pada Julai.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan