Pelajar ditikam di Selangor: Remaja lelaki didakwa membunuh
Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Rabu (22 Okt) atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu.
Petikan skrin daripada video upacara persemadian pelajar wanita berusia 16 tahun yang ditikam hingga maut di sebuah sekolah di Selangor, yang dimuat naik oleh ibu mangsa. (Gambar: Facebook/Aapple Wong)
Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 14 tahun itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga pukul 9.35 pagi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung.
Prosiding dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal dan hanya keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala peguam Anwar Ezzad Zainal mewakili remaja terbabit.
Mahkamah menetapkan 21 November untuk sebutan kes.
Terdahulu, remaja lelaki berkenaan tiba di mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan menaiki van polis.
Dalam kejadian 14 Oktober lalu, pelajar perempuan berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh remaja lelaki yang juga pelajar di sekolah yang sama.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar dilaporkan berkata laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.