Pelajar di M'sia mungkin perlu pakai pelitup ke sekolah apabila dibuka semula pada 2 Mei

(Gambar: Malaysiakini)
KUALA LUMPUR: Pelajar di Malaysia mungkin diwajibkan memakai pelitup muka semula sebaik mereka kembali ke sekolah pada 2 Mei di tengah kebimbangan penularan varian baru COVID-19, XBB.1.16 atau Arcturus, yang sangat mudah berjangkit.
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa berkata akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk membincangkan perkara itu bagi menghalang penularan COVID-19 di sekolah, lapor BH Online.
"Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan COVID-19 di sekolah, terutama selepas adanya varian baru Arcturus.
"SOP berhubung kawalan COVID-19 itu akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.
"Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan COVID-19 kembali menular di sekolah," katanya seperti dipetik BH Online.
Dr Zaliha berkata Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan muktamad berhubung SOP berdasarkan syor kementeriannya.
Pada masa sama, beliau menggesa ibu bapa agar tidak panik dengan varian baru.
"Jika mengalami gejala jangkitan, mereka bukan sahaja perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor," BH Online memetik kata-kata menteri kesihatan itu.
Pada Isnin (17 Apr), Dr Zaliha mendedahkan sebanyak 12 kes varian Arcturus dilaporkan di Malaysia, dengan kesemua pesakit mengalami gejala ringan dan dalam keadaan stabil.
Enam kes dikesan di Sarawak, empat di Selangor dan dua lagi di Kuala Lumpur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.