Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelajar dakwa tertekan dek peraturan 'tidak masuk akal' bendung COVID-19 di institusi awam

Sekumpulan bakal pendidik di sebuah institusi pendidikan awam di Masjid Tanah, Melaka mendakwa tidak berpuas hati dengan peraturan tidak munasabah yang ditetapkan pihak pengurusan kampus tersebut dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar dakwa tertekan dek peraturan 'tidak masuk akal' bendung COVID-19 di institusi awam

Gambar fail: Astro AWANI

Diterbitkan : 09 Dec 2021 10:22PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 10:24PM

MELAKA: Sekumpulan bakal pendidik di sebuah institusi pendidikan awam di Masjid Tanah, Melaka mendakwa tidak berpuas hati dengan peraturan tidak munasabah yang ditetapkan pihak pengurusan kampus tersebut dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Dakwa seorang daripada pelajar di kampus tersebut di media sosial, pihak pengurusan institusi itu sudah mengeluarkan larangan bagi mengekang pelajar membuat tempahan makanan online melainkan tempahan di restoran makanan segera, menurut laporan Astro AWANI.

Pelajar di maktab berkenaan turut mendakwa ibu bapa yang berhasrat menghantar makanan kepada anak-anak di situ juga dilarang berbuat demikian, atas alasan bimbang berlakunya jangkitan COVID-19 ke dalam kampus.

“Kami faham dengan situasi pandemik yang melanda ketika ini, namun langkah pencegahan harus diambil dengan teliti tetapi tindakan pihak pengurusan ini membebankan kami."

“Pilihan yang diberikan pihak pengurusan tidak munasabah untuk kami yang masih bergelar pelajar, misalnya, hanya membenarkan tempahan makanan online untuk makanan segera dan semua sedia maklum bukan semua berkemampuan untuk membeli makanan restoran makanan segera."

“Pihak pengurusan juga tidak membenarkan ibu bapa untuk menghantar makanan ke sini, atas alasan menggelakkan berlakunya jangkitan COVID-19,” kata pelajar yang tidak mahu identitinya didedahkan, seperti yang dipetik Astro AWANI.

Kuantiti makanan yang sedikit, harga makanan yang mengelirukan, serta masalah kebersihan makanan yang terpaksa dihadapi pelajar. (Gambar: Astro AWANI)

Dakwa pelajar itu lagi, pilihan yang ditawarkan pihak pengurusan kampus itu kepada semua pelajar di situ adalah membeli makanan di kafeteria yang disediakan.

Bagaimanapun katanya, harga makanan yang dijual di kafeteria tersebut agak mahal malah tidak setimpal dengan kuantitinya yang sangat sedikit.

Seorang lagi pelajar di institusi yang sama mendedahkan, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Jawatan Perwakilan Pelajar (JPP) untuk dibawakan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Namun, sehingga hari ini tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

Situasi yang melanda institusi tersebut mendapat perhatian umum selepas seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Pedoqpop mengongsi isu yang disuarakan oleh para pelajar di kampus tersebut.

Setakat ini, perkongsian yang mendapat perhatian netizen itu memperoleh 2,907 tanda suka dan 3,343 pula berkongsi semula status tersebut di akaun media sosial masing-masing sehingga tengah hari Khamis (9 Dis).

Dalam perkembangan sama, kemudahan asas yang terdapat di institusi tersebut juga uzur tanpa sebarang pembaikan bagi kegunaan para pelajar.

“Kami harap sangat dua perkara ini mendapat perhatian pihak bertanggungjawab terutamanya Kementerian Pendidikan dan kami harap tiada mana-mana pihak yang salah anggap dengan aduan kami ini,” tambahnya.

Menurut Astro AWANI, apabila pihak pengurusan institusi dihubung, pihaknya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan akan membuat laporan ke peringkat pusat terlebih dahulu.

Dalam masa sama, usaha mendapatkan reaksi daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang dilakukan hingga kini. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan