Pelajar 17 tahun cedera parah setelah motosikal ditunggangnya langgar gajah di Johor
(Gambar: Agensi berita)
KLUANG: Seorang pelajar cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor gajah di Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Seri Impian pada Khamis malam (4 Ogos).
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu, mangsa, Muhammad Danish Saedin, 17 tahun, menunggang motosikal bersendirian di kawasan berkenaan, menurut laporan Sinar Harian.
Ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46 tahun, berkata difahamkan kemalangan tersebut berlaku semasa anaknya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.
"Sebelum kejadian, anak saya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian lalu bertolak pulang ke rumah sebelum melanggar gajah berkenaan semasa dalam perjalanan.
“Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan-rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah.
“Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selepas itu.
“Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat (5 Ogos).
Menurutnya lagi, Muhammad Danish kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
"Doktor memaklumkan terdapat pendarahan dalam kepalanya dan ketika ini dia sedang ditidurkan serta dilaporkan stabil," katanya.
Dalam pada itu, Cik Mislawati berharap pihak berkuasa memandang serius terhadap isu kehadiran gajah di kawasan berdekatan kawasan perumahan penduduk di daerah berkenaan akhir-akhir ini.
“Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gelap pada waktu malam.
"Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.