Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pekerja stesen minyak lega dapat selamatkan bayi baru dilahirkan di tandas

Kejadian diserahkan seorang bayi lelaki oleh seorang wanita yang baru sahaja melahirkan bayi itu sesuatu yang tidak akan dilupakan dalam hidup seorang pekerja stesen minyak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja stesen minyak lega dapat selamatkan bayi baru dilahirkan di tandas

Gambar fail. (Gambar: AFP/Philippe Huguen)

Diterbitkan : 03 Dec 2017 06:35PM Dikemas Kini : 03 Dec 2017 06:43PM

BALING, KEDAH: Seorang pekerja sebuah stesen minyak menyifatkan kejadian beliau diserahkan seorang bayi lelaki oleh seorang wanita yang baru sahaja melahirkan bayi itu sesuatu yang tidak akan dilupakan dalam hidupnya.

Cik Nurul Shuhada Mat Shukri, 25 tahun, berkata beliau gembira tindakannya memujuk wanita berusia 30-an itu, yang baru sahaja keluar daripada tandas stesen minyak itu kira-kira pukul 2.15 petang semalam (2 Dis) dengan membawa “sesuatu” yang berbungkus dengan kain batik, agar diserahkan kepadanya akhirnya berhasil.

“Memang dia marah tetapi saya tidak jemu-jemu memujuknya agar benda berbungkus yang saya yakin ia adalah bayi yang baru dilahirkan kerana terdengar tangisan agar diserahkan kepada saya kerana khuatir wanita itu akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.

"Jika tidak lakukan sesuatu, saya khuatir wanita itu akan buang bayi itu dan disebabkan itulah saya tidak henti-henti memujuknya walaupun dimarahi dan saya lega sebaik saja dapat memeluk bayi itu dan terus membuat laporan polis sebelum bayi itu di hantar ke hospital untuk rawatan dan penjagaan,” katanya ketika ditemui wartawan di stesen minyak tersebut hari ini (3 Dis).

Cik Nurul Shuhada berkata selepas menyerahkan bayi berkenaan, wanita itu sempat berpesan agar menjaganya dengan baik sebelum memandu sebuah kenderaan Proton Waja dalam keadaan kesakitan dan keletihan

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling Supt Shariffuddin Yusuf berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

"Bagi kes semalam, kita sedang menyiasat dan mengesan wanita itu termasuk melalui ujian perbandingan darah bayi itu untuk tujuan (ujian) DNA,” katanya.

Beliau berkata bayi berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Baling dan dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata, JKM Baling akan mendapat Perintah Hak Perjagaan Sementara mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 Pindaan 2016 daripada Mahkamah Sesyen Baling.

Beliau berkata, bayi ini akan ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberikan perlindungan sewajarnya.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan