Pekerja lapangan terbang Korea Selatan mogok, tuntut syarat kerja diperbaiki
Korea Airports Corporation mengesahkan kira-kira 15,000 pekerja lapangan terbang di seluruh Korea Selatan melancarkan mogok tanpa had bermula pukul 6.00 pagi pada Rabu (1 Okt), mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan besar kepada perjalanan udara menjelang musim cuti Chuseok.
Dianggarkan seramai 5.26 juta orang akan menggunakan 15 lapangan terbang di seluruh Korea Selatan, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, sepanjang musim cuti Chuseok. (Gambar: X/@wikitree)
Mogok itu melibatkan pekerja di 15 lapangan terbang utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan Gimpo, merangkumi kakitangan dalam bidang penting seperti penyenggaraan landasan, bomba, dan sistem elektrik, seperti dilapor Astro Awani.
Kesatuan pekerja menuntut penambahbaikan syarat kerja termasuk pelaksanaan sistem syif empat pasukan yang lebih fleksibel berbanding sistem tiga pasukan sedia ada.
Jurucakap kesatuan menyatakan bahawa mogok akan diteruskan sehingga tuntutan mereka dipenuhi, walaupun negara itu sedang bersiap untuk cuti panjang sempena Chuseok dan Hari Asas Negara, menurut laporan Astro Awani.
Lebih lima juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan udara sepanjang tempoh ini, dengan lebih 2.4 juta dijangka melalui Incheon sahaja.
Pihak berkuasa lapangan terbang mengambil langkah segera untuk mengurangkan kesan mogok, termasuk menambah mesin imbasan keselamatan, mempercepatkan waktu operasi dewan keberangkatan dan menambah kakitangan daftar masuk serta perkhidmatan bas malam.
Walaupun penerbangan dijangka diteruskan seperti biasa, kelengahan dan kesesakan berkemungkinan berlaku akibat kekurangan tenaga kerja, seperti dilapor Astro Awani.
Kesatuan pekerja menegaskan bahawa tindakan itu adalah demi mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat dan adil, khususnya bagi pekerja kontrak dan syif malam yang berisiko tinggi dari segi kesihatan.
Mogok itu turut mendapat perhatian seluruh negara, dengan beberapa perhimpunan dijadual berlangsung di terminal utama lapangan terbang sepanjang minggu.
Pemerintah Korea Selatan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung rundingan lanjut, namun tekanan awam dijangka meningkat jika gangguan berlarutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.