Skip to main content

Dunia

Pekerja boleh abaikan arahan Elon Musk untuk buktikan pencapaian kerja: Pentadbiran Trump

Anggaran Waktu Membaca:
 Pekerja boleh abaikan arahan Elon Musk untuk buktikan pencapaian kerja: Pentadbiran Trump

Encik Elon Musk memegang gergaji ketika tiba untuk berucap di Persidangan Tindakan Politik Konservatif di Gaylord National Resort & Convention Center pada 20 Feb 2025, di Oxon Hill, Maryland. (Gambar: AP/Jose Luis Magana)

Diterbitkan : 25 Feb 2025 11:24AM Dikemas Kini : 25 Feb 2025 11:43AM
WASHINGTON: Agensi pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang menyelia pekerja persekutuan pada Isnin (24 Feb) menyatakan kakitangan pemerintah boleh sahaja mengabaikan e-mel daripada hartawan teknologi Elon Musk yang mengarahkan mereka membuktikan pencapaian kerja masing-masing.

Arahan Encik Musk itu mencetuskan tentangan luar biasa daripada beberapa agensi.

Kiriman e-mel Encik Musk itu mengarahkan setiap daripada 2.3 juta pekerja perkhidmatan awam negara itu supaya menyediakan ringkasan lima perkara mengenai tugas mereka sebelum 11.59 malam (waktu tempatan), sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana kuasayang dimiliki orang paling kaya di dunia itu dalam usaha Presiden Donald Trump untuk mengecilkan saiz pemerintah AS.

Encik Musk memberi amaran bahawa pakerja yang tidak membalas e-mel itu dengan maklumat yang terperinci boleh dipecat.

Namun sedang tarikh akhir semakin hampir, Encik Musk nampaknya mengakui bahawa rancangan beliau menemui jalan buntu.

"Permintaan emel itu sangat remeh, memandangkan standard untuk lulus ujian tersebut adalah dengan menaip beberapa perkataan dan tekan butang hantar!" tulis Encik Musk di akaun X, platform media sosial miliknya.

"Namun ramai yang gagal ujian seremeh itu, malah ada yang didorong oleh pengurus mereka."
Menurut emel dalaman Jabatan Kehakiman yang dilihat oleh Reuters, Pejabat Pengurusan Kakitangan AS memberitahu pegawai sumber manusia di agensi persekutuan pada Isnin bahawa pekerja tidak akan dipecat jika tidak membalas e-mel Encik Musk. Kakitangan juga tidak diwajibkan untuk membalas e-mel tersebut.

Menurut memo itu membalas e-mel tersebut adalah secara ukarela.

Dalam masa yang sama, ia juga menasihatkan pekerja supaya tidak berkongsi maklumat sulit, sensitif atau rahsia dalam jawapan mereka, berikutan kebimbangan dibangkitkan pengkritik terhadap tindakan Encik Musk itu.

Meskipun selepas panduan itu dikeluarkan, sesetengah agensi masih meminta pekerja mereka membalas e-mel Encik Musk.

Seorang pengurus kanan di Pentadbiran Perkhidmatan Am, yang menguruskan bangunan-bangunan persekutuan, memberitahu pekerja bahawa agensi itu masih menggalakkan pekerja membalas e-mel Encik Musk walaupun secara sukarela, menurut sumber GSA.

Begitu juga, pemangku pengarah OPM sendiri mengirim e-mel kepada kakitangan agensi dengan menyatakan membalas e-mel Encik Musk adalah sukarela "tetapi sangat digalakkan".

Rumah Putih dan OPM tidak memberi sebarang respons kepada permintaan bagi komen.

TENTANGAN TERHADAP ARAHAN MUSK

Penolakan terhadap arahan Encik Musk oleh beberapa ketua agensi merupakan tanda-tanda awal penentangan dalaman terhadap pendekatan 'kasar' beliau dalam mengecilkann saiz pemerintah persekutuan.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia menasihatkan pekerja bahawa jika mereka memilih untuk membalas, mereka harus mengekalkan respons mereka secara umum dan elak daripada mengenal pasti ubat-ubatan atau kontrak khusus, menurut e-mel yang dibaca oleh Reuters.

"Anggaplah apa yang anda tulis akan dibaca oleh pelaku asing yang berniat jahat dan sesuaikan respons anda sewajarnya," menurut emel itu.

Inisiatif Encik Musk untuk mengecilkan saiz pemerintah turut memberi kesan kepada ekonomi AS yang lebih luas, memaksa syarikat yang menjalankan perniagaan dengan pemerintah memberhentikan pekerja mereka dan menangguhkan pembayaran kepada pembekal.

Mesej hartawan itu pada Sabtu (22 Feb) mengejutkan beberapa pegawai pentadbiran, menurut dua sumber yang mengetahui situasi itu.

Menambah kekeliruan itu, Encik Trump menyokong tindakan Encik Musk.

"Saya rasa ia hebat,’ katanya kepada wartawan di Rumah Putih pada Isnin. "Tindakannya itu sangat bijak. Kami cuba mengetahui sama ada orang benar-benar bekerja.’"

Pada hari yang sama, seorang hakim persekutuan menghalang pasukan pemerintah, yang dibentuk oleh Presiden Trump dan diketuai Encik Musk daripada mengakses data sensitif yang disimpan oleh Jabatan Pendidikan AS dan OPM.

KESATUAN BUAT TUNTUTAN UNDANG-UNDANG

Pada Isnin juga, sekumpulan kesatuan sekerja yang meminta seorang hakim persekutuan supaya menghentikan pemberhentian besar-besaran mengemas kinituntutan mahkamah mereka untuk meminta agar e-mel Encik Musk diisytiharkan sebagai tidak sah.

Sebelum arahan OPM dikeluarkan, pegawai kanan di Jabatan Kehakiman, serta Jabatan Pertahanan, Negara, dan Keselamatan Dalam Negeri dan beberapa agensi lain sudah memberitahu pekerja supaya tidak membalas di luar saluran rasmi masing-masing.

Jabatan Pengangkutan, Jabatan Perbendaharaan dan agensi bebas seperti Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan sudah memberitahu pekerja mereka untuk tidak melayan e-mel Encik Musk.

Lebih 20,000 pekerja sudah diberhentikan sebagai sebahagian daripada usaha mengecilkan saiz pemerintah.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita