Pejabat Perdana Menteri M'sia arah guna nama 'Mahiaddin' dalam surat, dokumen rasmi
Urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi kerajaan Malaysia akan menggunakan nama rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor media tempatan menukil satu memo Pejabat Perdana Menteri(PMO) negara itu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi kerajaan Malaysia akan menggunakan nama rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, lapor media tempatan menukil satu memo Pejabat Perdana Menteri(PMO) negara itu.
Malaysiakini melaporkan, nama rasmi atau nama sebenar Perdana Menteri Malaysia itu menurut kad pengenalannya ialah Mahiaddin Md Yasin.
Agensi berita itu menukil satu memo perhubungan bertarikh 3 Jun 2021 yang ditandatangani ketua setiausaha sulit PM Muhyiddin, Marzuki Mohamad dan ditujukan kepada semua pegawai dan kakitangan PMO.
"Susulan pandangan Jabatan Peguam Negara, dimaklumkan penggunaan nama rasmi perdana menteri adalah seperti berikut: Mahiaddin bin Md Yasin atau Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin.
"Sehubungan itu, semua urusan surat-menyurat dan dokumen rasmi kerajaan yang memerlukan penggunaan dan tandatangan atas nama Perdana Menteri hendaklah menggunakan nama rasmi Perdana Menteri seperti di atas.
"Arahan ini berkuat kuasa serta-merta," menurut memo itu.
Encik Marzuki mengesahkan memo tersebut dengan Malaysiakini.
Agensi itu menambah pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan satu perintah penahanan yang ditandatangani PM Muhyiddin kerana tidak menggunakan nama seperti dalam kad pengenalannya.
Bagaimanapun, PM Muhyiddin menggunakan nama sebenarnya dalam kesemua empat pengisytiharan darurat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.