Pejabat Hak Asasi Manusia PBB tuntut keadilan atas pembunuhan di Sweida
Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jumaat (18 Jul) menggesa pihak berkuasa sementara Syria memastikan kebertanggungjawaban dan keadilan atas pembunuhan dan pencabulan hak asasi manusia di bandar Sweida.
Golongan wanita dan kanak-kanak berjalan di Deraa dan Sweida, selepas puluhan individu terbunuh pada minggu ini dalam keganasan di sekitar bandar Druze di Sweida, (Gambar: Reuters/Khalil Ashawi)
Pemerintah Syria mengerahkan tentera ke bandar Druze minggu ini untuk meleraikan pertempuran antara kaum Badwi dan Druze, tetapi keganasan meningkat sehingga gencatan senjata diisytiharkan.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyatakan bahawa ia menerima laporan yang boleh dipercayai mengenai pencabulan hak asasi yang meluas semasa berlaku pertempuran tersebut.
Ini termasuk laporan melakukan hukuman mati, penculikan dan pemusnahan harta benda peribadi oleh pasukan keselamatan dan individu-individu yang dikaitkan dengan pihak berkuasa sementara Syria, serta elemen bersenjata lain termasuk Druze dan Badwi.
“Pertumpahan darah dan keganasan ini mesti dihentikan, dan perlindungan bagi semua orang mesti menjadi keutamaan, selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” tegas Pesuruhjaya Tinggi OHCHR Volker Turk dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh secara tidak sah dalam satu kejadian yang direkodkan pada 15 Julai apabila sekutu pihak berkuasa sementara melepaskan tembakan ke arah sebuah keramaian, menurut OHCHR. Enam lelaki telah dibunuh berhampiran rumah mereka pada hari yang sama.
"Pejabat saya telah menerima laporan tentang rakyat Syria yang tertekan yang hidup dalam ketakutan untuk nyawa mereka dan orang tersayang mereka," kata Encik Turk.
Israel melancarkan serangan udara ke atas Damsyik pada Rabu dan turut menyerang tentera Syria di bahagian selatan, menggesa mereka berundur dan berkata serangan itu bertujuan untuk melindungi kaum Druze di Syria - sebahagian daripada minoriti kecil tetapi berpengaruh dengan pengikut di Lubnan dan Israel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.