Skip to main content

Dunia

Peguam Negara Israel umumkan hasrat mahu dakwa Netanyahu sebelum pilihan raya April

Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit mengumumkan tentang hasratnya untuk mendakwa Perdana Menteri negara itu, Encik Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Negara Israel umumkan hasrat mahu dakwa Netanyahu sebelum pilihan raya April

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar fail: Sebastian Scheiner/Reuters)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 09:32PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 09:34PM

JERUSALEM: Peguam Negara Israel Avichai Mandelblit mengumumkan tentang hasratnya untuk mendakwa Perdana Menteri negara itu, Encik Benjamin Netanyahu atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Keputusan beliau itu dibuat semalam (28 Feb), hanya beberapa minggu menjelang pilihan raya yang akan berlangsung pada 9 April di mana Netanyahu menghadapi cabaran yang sukar dari persekutuan politik yang diketuai oleh bekas ketua pegawai tentera yang dihormati, Benny Gantz.

Encik Mandelblit berkata bahawa beliau berhasrat untuk mendakwa Encik Netanyahu di mahkamah di mana beliau akan diberi peluang untuk mempertahankan dirinya sebelum dakwaan difailkan.

Encik Netanyahu menolak semua tuduhan itu dan parti sayap kanannya Likud menganggapnya sebagai "penganiayaan politik".
Menurut Likud dalam satu kenyataan: "Penerbitan berat sebelah itu, yang dikeluarkan sebulan menjelang pilihan raya tanpa memberikan perdana menteri peluang untuk menafikan tuduhan-tuduhan palsu itu, adalah campur tangan yang jelas dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam pilihan raya."

Encik Netanyahu menyandang jawatan perdana menteri selama hampir 13 tahun yang kemungkinan mengatasi bapa pengasas Israel Encik David Ben-Gurion sebagai perdana menteri yang paling lama berkhidmat di Israel, sekiranya beliau mengecapi kemenangan pada bulan April.

Encik Netanyahu tidak dikehendaki meletak jawatan jika didakwa melainkan disabitkan semua kesalahan dan kesemua rayuannya ditolak.
Beliau menganggap siasatan itu sebagai satu rancangan musuh-musuh politiknya untuk menggulingkannya daripada kuasa.

Pada hari Khamis (28 Feb) Parti Likud mengemukakan satu petisyen kepada mahkamah agung untuk menahan Mandelblit daripada mengumumkan keputusannya sebelum pilihan raya. Permohonan itu bagaimanapun ditolak. 

Sumber : CNA/MU/il
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita