Peguam Negara diberi cuti, diganti oleh peguam cara
Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.
Encik Mohamed Apandi. (Gambar: P108 Shah Alam/Facebook)
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata Tan Sri Mohamed Apandi diberikan cuti berikutan terdapat beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat ke atas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Dengan ketiadaan Tan Sri Mohamed Apandi, Dr Mahathir berkata tugas-tugas Peguam Negara termasuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mendapatkan pengampunan diraja kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dihadiri oleh Peguam Cara Negara.
"Peguam Cara Negara adalah seseorang yang memang pun berkuasa menjalankan tugas Peguam Negara.
"Kedudukan AG sukar sedikit kerana beliau baru diberikan kontrak dan perlu mengikut undang-undang. Tentang soal pergantungan tugas, ia memerlukan beberapa tindakan dan sebab itu Peguam Negara diberi cuti.
"Sementara bercuti, Peguam Cara Negara boleh mengambil alih tugasnya dan akan melaksanakan tugas-tugas berkenaan. Jadi, kita (kerajaan) masih ada Peguam Cara Negara yang boleh menjalankan tugas Peguam Negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarakat dengan ketua-ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini (14 Mei).
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sekiranya kerajaan menerima laporan polis secara rasmi mengenai tuduhan-tuduhan terhadap Tan Sri Mohamed Apandi maka siasatan boleh dijalankan, yang berkemungkinan, pada masa itu, Peguam Negara boleh digantung tugas atau mengambil tindakan lain termasuk mengenakan sekatan keluar dari negara.
Ditanya sama ada Mohamed Apandi diminta mengambil cuti oleh kerana terdapat beberapa cubaan untuk menutup kes, beliau berkata: "Ya, terdapat aduan terhadap AG (peguam negara). Bagaimanapun tiada laporan rasmi. Atas dasar itu, kami memberi beliau cuti"
Ditanya sebab Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad melepaskan jawatannya pagi ini, Dr Mahathir berkata itu adalah pilihan beliau.
"Selepas siasatan, beliau mungkin hanya digantikan, atau beliau boleh meletak jawatan, ambil cuti, pergi makan angin, buat sementara waktu. Jika siasatan mendapati terdapat kes terhadapnya, kami akan mengambil tindakan,” tegas beliau.
Ditanya sama ada lebih ramai pegawai atau KSU yang akan digantung tugas berikutan aduan salah laku, Dr Mahathir berkata buat masa ini, kerajaan perlu mendapatkan laporan yang sewajarnya sebelum bertindak menggantung tugas mana-mana pegawai.
"Saya mahu melakukannya berdasarkan peraturan dan prosedur," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.