Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peguam Najib Razak diarah bayar tunggakan cukai RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Najib Razak diarah bayar tunggakan cukai RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri

Peguam Muhammad Shafee Abdullah. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam Muhammad Shafee Abdullah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis (21 Dis) supaya membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta (S$1.6 juta) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah bahawa jumlah akhir yang perlu dibayar oleh Muhammad Shafee ialah RM5,529,577.70 (S$1.6 juta).

"Pihak kami juga memohon kos RM10,000 (S$2,856)," kata Encik Norhisham yang turut dibantu Peguam Kanan Hasil Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammmad Shafee, yang mewakili bapanya selaku defendan memohon kos RM5,000 (S$1,428).

Cik Roz Mawar kemudian membenarkan kos RM10,000 (S$2,856) kerana jumlah tersebut adalah munasabah.

Sementara itu, Encik Muhammad Farhan memberitahu mahkamah pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan merayu terhadap keputusan pada Khamis.

Pada 15 Disember lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap peguam itu.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Pada 28 September 2021, LHDN memohon agar samannya terhadap Encik Muhammad Shafee, yang difailkan pada 6 Mei 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 (S$2.7 juta) dalam tempoh ditetapkan.

LHDN mendakwa peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.

Pada 28 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Encik Muhammad Shafee daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta (S$2.7 juta) daripada mantan Perdana Menteri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Disember lalu. Ini menyebabkan pembebasan Encik Muhammad Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan