Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peguam Najib diberi amaran; tiada lagi penangguhan soal saksi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memberi amaran kepada pasukan pembelaan Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa mereka tidak lagi dibenarkan untuk menangguh soal balas mana-mana saksi pendakwaan.

Hakim itu berkata demikian ketika peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed meminta pemeriksaan balas ke atas saksi pendakwaan ke-40 iaitu bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad Kok Tuck Cheong, ditangguhkan.

Encik Wan Aizuddin memberitahu mahkamah, peguam utama Muhammad Shafee Abdullah mempunyai satu lagi kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid. 

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram membantah permohonan itu.

“Yang Arif, pihak pendakwaan tidak dapat memanggil saksi baru kerana tiga saksi masih belum selesai memberi keterangan. Kami mempunyai saksi yang disenaraikan.  

“Kami semua perlu membuat pelarasan. Saya ada perbicaraan kes yang masih belum selesai dan meminta hakim untuk melapangkan perbicaraan itu, kami juga membuat penyesuaian,” kata Encik Sri Ram.

Pada ketika ini, Hakim Sequerah yang tidak berpuas hati dengan permintaan pihak pembelaan berkata, pada masa akan datang, jika Muhammad Shafee tidak dapat menjalankan pemeriksaan balas, maka Wan Aizuddin harus mewakilinya.

"Kamu tidak boleh lagi berbuat demikian. Prosiding perbicaraan yang dijalankan secara tertangguh, berulang kali, dengan menangguhkan saksi (memberi keterangan), saya telah banyak kali bertolak ansur. Bermula dari sekarang, jika Tan Sri Shafee tidak dapat melakukan pemeriksaan balas, kamu (Wan Aizuddin) harus menggantikannya.

“Kamu semua (Shafee & Co) mempunyai pasukan yang besar dan kamu (Wai Aizuddin) berkemampuan untuk melakukannya kerana sudah biasa dengan fakta kes ini. Selepas ini, beginilah perbicaraan kes ini akan berjalan. Pada masa akan datang, jika Tan Sri Shafee tidak ada (dan tidak ada sesiapa yang dapat menjalankan pemeriksaan balas), saya akan menganggap pemeriksaan balas telah selesai dan meneruskan untuk mendengar pemeriksaan semula,” kata hakim itu.

Wan Aizuddin berkata beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Muhammad Shafee dan akan bertindak sewajarnya. 

Encik Najib, 69 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$710 juta) milik dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung pada 2.30 petang.
 
Sumber : Bernama/HY/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan