Skip to main content

Dunia

Peguam Najib cedera, kes rayuan ditangguh

Mahkamah Rayuan Malaysia menetapkan Jumaat ini (15 Mac) untuk meneruskan pendengaran rayuan berkenaan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan tujuh tuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam Najib cedera, kes rayuan ditangguh

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Mar 2019 11:33PM Dikemas Kini : 12 Mar 2019 11:35PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Malaysia menetapkan Jumaat ini (15 Mac) untuk meneruskan pendengaran rayuan berkenaan kes mantan Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan tujuh tuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).

Encik Najib memfailkan empat rayuan berhubung permohonan interlokutori yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Prosiding ditangguhkan selepas peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau mengalami kecederaan di pergelangan tangan semasa bermain dengan anjing peliharaannya dan tidak dapat meneruskan hujahnya hari ini (12 Mac).

Beliau berkata anjing peliharaannya melompat ke atasnya menyebabkan beliau cedera dan perlu menjalani rawatan.

Peguam Negara Tommy Thomas bagaimanapun berkata pasukan pendakwaan berdepan tekanan orang ramai yang mahu perbicaraan Encik Najib dimulakan secepat mungkin.

“Semua orang mahu perbicaraan bermula esok kalau boleh. Pasukan pendakwaan berdepan tekanan… Malah kami berdepan dengan tekanan global yang mendesak supaya perbicaraan dimulakan," katanya.

Encik Thomas berkata beliau faham Encik Muhammad Shafee mempunyai masalah tetapi pihak pendakwaan juga dipersoal sebab perbicaraan belum bermula.

Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini (12 Mac), pasukan pembelaan Encik Najib mahu mengakses dokumen yang pendakwaan tidak akan gunakan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ad hoc V. Sithambaram berkata kenyataan dan dokumen yang dipohon oleh pihak pembelaan bukanlah dokumen yang pendakwaan perlu kemukakan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

"Memberi perintah yang dipohon perayu (Najib) akan bermakna kertas siasatan perlu diserahkan kepada perayu kerana ia juga kenyataan dan dokumen yang diperoleh oleh pegawai penyiasat mengikut Seksyen 30 (9) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (MACC) dan Seksyen 40 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA)," katanya.

Encik Sithambaram, peguam yang dilantik sebagai DPP ad hoc berkata mengikut Seksyen 51A, pada peringkat praperbicaraan, pendakwaan hanya dikehendaki membekalkan salinan laporan maklumat, dokumen yang akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada bukti pendakwaan serta kenyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan.

Beliau berkata sekiranya pendakwaan memberikan semua dokumen, ia seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan kepada pembelaan.

Encik Sithambaram berhujah, terdapat kemungkinan akan berlaku gangguan terhadap saksi jika kenyataan saksi diberikan kepada pembelaan sebelum perbicaraan dan saksi-saksi tidak akan tampil memberi keterangan.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita