Skip to main content

Dunia

Peguam bela Syed Saddiq mohon cabar kredibiliti saksi utama pendakwaan

Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, memohon untuk mencabar kredibiliti saksi utama berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi serta keterangan lisannya di mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam bela Syed Saddiq mohon cabar kredibiliti saksi utama pendakwaan

Mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 Julai 2022. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Jul 2022 08:28PM
KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, memohon untuk mencabar kredibiliti saksi utama berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi serta keterangan lisannya di mahkamah.

Kenyataan yang bercanggah itu membabitkan arahan Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim Razali, iaitu saksi pendakwaan ke-13, berhubung prosedur pengeluaran dana RM1 juta (S$316,000) daripada akaun bank Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, berkata mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk membenarkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti Rafiq Hakim kerana dokumen yang dirujuk iaitu pernyataan saksi tidak dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

“Pernyataan saksi ini tidak digunakan di mahkamah kerana beliau tidak membacanya semasa prosiding. Tetapi kami tahu terdapat percanggahan berdasarkan keterangan lisannya dan pernyataan saksi yang diberikan kepada kami sebelum ini,” katanya semasa perbicaraan kes Syed Saddiq di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid hari ini (7 Jul).

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata sekiranya pihak pembelaan ingin mencabar kredibiliti saksi itu, pernyataan saksi perlu dikemukakan di mahkamah dan dijadikan sebagai bahan bukti.

"Dalam kes ini, saksi (Rafiq Hakim) sudah mengaku memang terdapat percanggahan (dalam keterangannya),” katanya.

Encik Azhar kemudian mengarahkan kedua-dua pihak untuk berhujah mengenai perkara itu (mencabar kredibiliti saksi).

“Kita perlu berhati-hati tentang hal ini dan saya tidak mahu apa-apa yang boleh memprejudiskan tertuduh,” kata hakim, meminta kedua-dua pihak untuk melakukan penelitian berhubung perkara itu.

Awal dari itu, bekas Penolong Bendahari Armada itu tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa beliau berasa tertekan ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terpaksa ‘mencari jalan’ agar tidak dituduh bagi kes pecah amanah melibatkan dana RM1 juta itu.

Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa ketika beliau disoal siasat, SPRM hanya bertanyakan soalan yang mengaitkan perbuatan (pecah amanah) itu dengan Syed Saddiq.

“Semasa saya ditahan, SPRM hanya bertanyakan tentang siapa yang beri arahan untuk tandatangan pengeluaran RM1 juta itu, saya maklumkan kepada mereka Syed Saddiq dan saya sendiri tidak akan tandatangan sekiranya tiada arahan daripada beliau,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, sudah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 (S$38,000) daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 (S$15,800) dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita