Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peguam bela Najib kemuka surat Putera Saudi bagi hadiah AS$100 juta

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pembelaan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion (S$715 juta) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Rabu (28 Sep) mengemukakan surat daripada kerabat diraja Arab Saudi yang menyatakan bahawa beliau menerima hadiah wang tunai AS$100 juta (S$144 juta) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada dunia Islam.

Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Saud Abdulaziz Majid Al Saud, bekas Gabenor Wilayah Madinah, turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea-idea baru Encik Najib selaku pemimpin Islam moden.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, ketika membacakan surat yang ditandatangani pada 1 Februari 2011, berkata antara lain, putera itu memberikan Encik Najib sejumlah AS$100 juta (S$144 juta)sebagai hadiah yang akan dimasukkan ke dalam akaun beliau. 

“Surat itu turut menyatakan bahawa Najib hendaklah memiliki budi bicara mutlak bagi menentukan bagaimana hadiah tersebut akan digunakan bagi mempromosi Islam agar ia terus berkembang dan putera berkenaan menambah baginda tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung susulan pemberian itu,” katanya.

Encik Wan Aizuddin berkata demikian ketika menyoal saksi pendakwaan ke-37 iaitu R.Uma Devi yang merupakan Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan mengenai surat itu apabila merujuk beliau kepada dua dokumen berkaitan deposit berjumlah RM60.6 juta (S$18.9 juta) serta RM30.2 juta (S$9.4 juta) yang diterima oleh Encik Najib antara Februari dan Jun 2011. 

Wan Aizuddin: Adakah anda bersetuju bahawa terdapat kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa AS$100 juta (S$144 juta) yang disebut dalam surat itu dan kedua-dua transaksi ini adalah hadiah peribadi?  

Uma Devi: Saya tidak boleh membuat kesimpulan kerana jumlahnya berbeza dan juga tidak pasti sama ada surat itu telah diberikan kepada pihak bank sebelum kedua-dua transaksi dilakukan. 

Wan Aizuddin: Daripada pihak cawangan bank, surat ini tidak pernah dirujuk?

Uma Devi: Ya.

Saksi berusia 43 tahun itu turut memberi keterangan bahawa tiada tindakan diambil bagi menghentikan kemasukan AS$620 juta (S$895 juta) ke dalam akaun Encik Najib pada Ogos 2013 kerana tiada amaran dikeluarkan kepada pihak bank apabila transaksi itu dilakukan.

Beliau berkata terdapat beberapa tanda amaran yang diteliti oleh bank seperti jumlah wang yang dipindahkan, tujuan dan pendedahan maklumat daripada pelanggan. 

“Saringan akan dibuat berdasarkan kesemua tanda amaran ini. Pelanggan tidak akan dimaklumkan kerana ia akan menyebabkan mereka berjaga-jaga,” katanya sambil menambah pelanggan tidak akan dimaklumkan bagi membolehkan pihak bank menjalankan siasatan apabila terdapat tanda amaran.

Encik Najib, 69 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$715 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan