Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Peguam, anak lelaki 9 tahun maut ditimpa tanah runtuh di Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam, anak lelaki 9 tahun maut ditimpa tanah runtuh di Australia

(Gambar: Dean Lewins/AAP Image/AP/laman web Watson Farley & Williams)

SYDNEY: Polis Australia pada Selasa (5 Apr) menemui mayat seorang lelaki warga Britain dan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun. Kedua-duanya maut apabila tanah runtuh menimpa mereka sekeluarga semasa sedang berjalan di Blue Mountains di barat Sydney.

Kejadian tanah runtuh tersebut menimpa keluarga lima anggota, yang sedang bercuti itu, pada Isnin (4 Apr). Lelaki berusia 49 tahun dan anaknya terkorban manakala isteri kepada lelaki berkenaan, yang berusia 50 tahun dan seorang lagi anak lelaki berusia 14 tahun cedera parah, menurut polis.

Para penyelamat mengambil masa sejam untuk tiba di tempat kejadian, di mana mereka menemui mayat-mayat tersebut dalam hutan belukar.

Media tempatan melaporkan identiti lelaki berkenaan sebagai Mehraab Nazir, seorang peguam yang berpangkalan di Singapura.

Menurut Sydney Morning Herald, Mehraab merupakan seorang rakan di firma guaman Watson Farley & Williams di Singapura. Mehraab dan keluarga sedang bercuti di Australia pada waktu itu.

Isterinya, yang dikenal pasti oleh ABC News sebagai Ana Nazir, dikeluarkan daripada tempat kejadian bersama salah seorang anak lelakinya di Wentworth Falls menggunakan helikopter.

Wanita itu dan anak lelakinya masih dalam keadaan tenat di hospital selepas menjalani pembedahan kecemasan bagi kecederaan parah pada bahagian kepala dan perut, menurut ABC News.

Para penyelamat merawat seorang anak perempuan pasangan berkenaan, yang berusia 15 tahun, dan memindahkannya ke hospital kanak-kanak Sydney, di mana dia masih dipantau pada Selasa.

Remaja itu dibantu oleh konsulat Britain dan khidmat kebajikan.

Polis Blue Mountain sedang menyiasat insiden tanah runtuh itu dan satu laporan akan disediakan bagi koroner berhubung dua kematian tersebut, menurut polis.

Sumber : CNA/NK/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan