Skip to main content

Dunia

Pegawai tertinggi PBB desak ketua junta Myanmar lepaskan tahanan politik, hentikan hukuman mati

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai tertinggi PBB desak ketua junta Myanmar lepaskan tahanan politik, hentikan hukuman mati

Panglima angkatan bersenjata Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing semasa menyampaikan ucapan di Moskow, Rusia pada 23 Jun 2021 (Gambar fail: Alexander Zemlianichenko/Pool via REUTERS)

NAYPYIDAW: Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata beliau sudahpun menggesa ketua junta Myanmar supaya melepaskan tahanan politik dan menghentikan pelaksanan hukuman mati pada Rabu (17 Ogos).

Cik Noeleen Heyzer berbuat demikian semasa melakukan lawatan berprofil tinggi di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat di negara itu.

Myanmar terus berada dalam keadaan bergolak sejak tentera menggulingkan pemerintah yang dipimpin oleh pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi awal tahun lalu dan melancarkan tindakan keras terhadap bantahan aman serta gerakan tentangan bersenjata yang menyusul kemudian.

Menurut media negara, Cik Heyzer tiba di ibu kota Naypyidaw pada lewat Selasa (16 Ogos) dan disambut oleh para pegawai kementerian luar sebelum mengadakan pertemuan dengan ketua junta, Min Aung Hlaing, pada Rabu (17 Ogos).

Jurucakap junta Myanmar tidak memberi respons terhadap permintaan untuk mengulas mengenai pertemuaan berkenaan. Bagaimanapun, televisyen media tempatan, MRTV, melaporkan pada Rabu bahawa kedua-dua pihak membincangkan tentang hubungan antara Myanmar dengan PBB, tanpa memberi butiran lanjut.

Jeneral Myanmar terpalit kecaman dari seluruh dunia dengan yang terkini atas tindakan mereka melaksanakan hukuman mati terhadap empat aktivis demokrasi. Menurut para jeneral itu, aktivis demokrasi tersebut membantu dalam "tindakan keganasan", merujuk kepada serangan oleh milita yang menentang pemerintahan tentera dan berusaha untuk membalas dendam terhadap tindakan keras ke atas bantahan.

Mahkamah Myanmar turut menjatuhkan hukuman penjara untuk tempoh yang lama ke atas tahanan politik.

Lawatan Cik Heyzer dibuat hanya sehari selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Cik Suu Kyi atas tuduhan rasuah, yang menurut para pengkritik adalah tuduhan palsu.

Cik Heyzer sudahpun mendesak Jeneral Min Aung Hlaing supaya mengenakan moratorium ke atas hukuman mati pada masa hadapan dan membebaskan semua tahanan politik, menurut kenyataan tersebut.

Beliau juga meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Cik Suu Kyi dan meminta pembebasan salah seorang penasihatnya, ahli ekonomi Australia, Sean Turnell, yang ditahan semasa rampasan kuasa pada Februari 2021.

Jurucakap tentera Myanmar Zaw Min Tun berkata semasa sidang media pada Rabu (17 Ogos) bahawa ia tidak akan membenarkan sesiapapun bertemu dengan individu yang sedang berdepan dengan tuduhan jenayah.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita