Skip to main content

Dunia

Pegawai tertinggi Democrat kritik Trump gantung sekatan eksport ke atas China

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai tertinggi Democrat kritik Trump gantung sekatan eksport ke atas China
Presiden Donald Trump semasa berucap pada 5 Nov 2025 mengenai pertemuannya dengan Presiden Xi Jinping. (Gambar: Getty Images via AFP/Andrew Harnik)
Diterbitkan : 14 Nov 2025 10:19AM Dikemas Kini : 14 Nov 2025 10:20AM
WASHINGTON: Senator tertinggi Democrat termasuk Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer, pada Rabu (12 Nov) menyasarkan pentadbiran Encik Trump kerana menggantung langkah yang menyekat beribu-ribu syarikat China daripada mengakses teknologi Amerika Syarikat dalam pusingan rundingan perdagangan yang lalu dengan Beijing, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai "menyerahkan begitu sahaja aset utama keselamatan negara".

Peraturan itu, yang diumumkan pada 29 September, bertujuan untuk menghentikan syarikat China yang dikenakan sekatan daripada menggunakan rangkaian anak syarikat untuk mendapatkan peralatan penting Amerika yang sepatutnya dihalang daripada mereka.

Namun Presiden Donald Trump bulan lalu bersetuju untuk menangguhkan peraturan itu selama setahun sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Pemimpin China, Xi Jinping, sebagai pertukaran bagi Beijing menggantung sekatan eksport galian nadir bumi untuk tempoh yang sama, iaitu bahan-bahan utama untuk teknologi yang dikawal terutamanya oleh China.

Dalam sepucuk surat bertarikh Rabu dan mula-mula dilaporkan oleh Reuters, para senator, termasuk Ron Wyden, menggesa Encik Trump untuk mengenakan semula peraturan itu, dengan alasan penangguhannya meletakkan "teknologi pengkomputeran maju yang dibangunkan oleh Amerika berisiko memajukan agenda China dan bukannya agenda kita sendiri".

"Penggantungan kawalan ini menjejas keselamatan negara Amerika Syarikat dan akan menjadikannya jauh lebih sukar untuk membendung pengalihan haram semikonduktor buatan Amerika dan teknologi maju lain kepada entiti yang berkaitan dengan negara China," tulis mereka.

"Kami menggesa anda untuk mengembalikan kawalan ini dan berhenti menyerahkan begitu sahaja aset penting keselamatan negara."

Rumah Putih dan Jabatan Perdagangan, yang menyelia kawalan eksport, tidak segera membalas permintaan bagi komen.

Surat itu adalah kritikan terbaharu terhadap pentadbiran Encik Trump berhubung penggantungan peraturan tersebut.

Peraturan itu menyekat firma yang sekurang-kurangnya 50 peratus dimiliki oleh syarikat yang sebelum ini dikenakan sekatan daripada menerima eksport teknologi Amerika Syarikat, menjejas kira-kira 20,000 syarikat China tambahan dengan sekatan eksport Amerika, menurut laporan baru-baru ini daripada WireScreen.

Peggantungan selama setahun itu, hujah Democrat dalam surat mereka, membuka semula kelemahan-kelemahan dan menyediakan "peluang selama setahun untuk sekutu firma asing yang disenarai hitam menyusun semula struktur bagi mengelak peraturan itu".

Penangguhan itu, tambah mereka, adalah sebahagian daripada corak membimbangkan di mana Encik Trump memilih untuk "menjual keselamatan negara demi mencari 'perjanjian' cepat bagi mengurangkan kemudaratan perang perdagangan yang anda cetuskan sendiri".

"Kami menggesa anda untuk menimbangkan semula strategi yang salah ini dan memastikan bahawa kawalan eksport negara kita tidak lagi digunakan sebagai alat tawar-menawar," menurut surat itu, yang turut ditandatangani oleh Senator Elizabeth Warren, Chris Van Hollen, Jeff Merkley, Ben Ray Lujan, Andy Kim dan Catherine Cortez Masto.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita