Pegawai tentera UK percaya Ukraine tidak akan raih kejayaan di medan perang pada 2024
Ketua perisikan tentera United Kingdom percaya Kyiv tidak akan memperolehi kejayaan di medan pertempuran pada 2024, kerana ia tidak mempunyai anggota tentera mahupun senjata untuk mencapai kemajuan besar dalam perang dengan Rusia.
Askar-askar Ukraine. (Gambar fail: Yasuyoshi Chiba/AFP)
Justeru, London sedang menimbangkan untuk melanjutkan sokongannya kepada Ukraine sehingga sekurang-kurangnya 2025.
Demikian menurut laporan akhbar The Times, yang menukil sumber dalam kerajaan Britain.
Menurut laporan itu, United Kingdom dan negara-negara Eropah yang lain sedang mempertingkatkan usaha masing-masing untuk memastikan mereka dapat menghulurkan bantuan kepada Ukraine tanpa melibatkan Amerika Syarikat.
Laporan itu turut menambah bahawa menteri di Eropah kini sedang berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran di seluruh benua itu bagi menghantar senjata dan peluru ke Kyiv selama sekurang-kurangnya setahun lagi.
Satu sumber tentera Ukraine memberitahu The Times bahawa bekalan senjata UK telah berkurangan, justeru rundingan tentang bekalan ketenteraan lebih baik dilakukan dengan Jerman.
Negara-negara Barat telah membekalkan bantuan ketenteraan kepada Kyiv sejak bermula operasi tentera Rusia di Ukraine pada Februari 2022.
Bantuan yang dihulurkan berkembang daripada bekalan senjata dan latihan pada 2022 kepada senjata lebih berat termasuk kereta kebal pada lewat tahun itu dan pada tahun lalu.
Kremlin pula telah berkali-kali memberi amaran supaya tidak terus membekalkan senjata kepada Kyiv.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.