Skip to main content

Dunia

Pegawai SPRM dakwa Najib tidak nyatakan pertemuan dengan Arab Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai SPRM dakwa Najib tidak nyatakan pertemuan dengan Arab Saudi

Gambar fail: BERNAMA

Diterbitkan : 22 Apr 2024 04:25PM Dikemas Kini : 22 Apr 2024 04:26PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin (22 Apr) diberitahu, kenyataan yang diberikan oleh Encik Najib Razak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyatakan mengenai pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi pada Januari 2010.

Mantan Perdana Menteri Malaysia itu melalui pembelaannya sebelum ini dalam kes penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, mendakwa beliau percaya wang dalam akaunnya adalah derma daripada Arab Saudi menyusuli pertemuannya dan delegasi Malaysia bersama dengan Raja Abdullah di Riyadh dan para pemimpin dari Timur Tengah.

Saksi ke-49 pendakwaan, Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin berkata beliau tidak merekodkan kenyataan daripada menteri yang menghadiri pertemuan itu kerana isu berkenaan tidak pernah timbul dan Encik Najib tidak mendedahkan perkara itu apabila dipanggil SPRM untuk direkodkan keterangan pada 2018.

"Tidak ada isu (berhubung perkara ini) kerana kenyataan kepada SPRM juga tidak menyebut mengenainya dan isu hanya timbul ketika perbicaraan SRC," katanya, lapor BH Online.

Cik Nur Aida juga berkata, tiada arahan daripada pihak pendakwaan untuk mendapatkan kenyataan daripada menteri berkenaan.

Saksi itu merujuk kepada rakaman kenyataan diambil daripada Encik Najib pada 2018 di mana mantan perdana menteri itu memberitahu bahawa beliau percaya wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya sebagai derma daripada kerabat Saudi pada 2013, lapor BH Online.

Cik Nur Aida berkata, Encik Najib hanya memberitahu SPRM bahawa terdapat pertemuan bagi membuktikan ia adalah derma, bagaimanapun tiada butiran bahawa delegasi dalam pertemuan itu membabitkan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, mantan Menteri Luar, Anifah Aman dan mantan Duta Malaysia ke Arab Saudi, Profesor Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion (S$659 juta).

Disoal Encik Muhammad Shafee mengapa SPRM tidak mendesak Encik Najib untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai pertemuan terbabit, Cik Nur Aida berkata Encik Najib bebas untuk menambah apa-apa butiran yang dimahukan ketika memberikan kenyataan, tetapi beliau tidak berbuat demikian.

Encik Jamil Khir yang memberikan keterangan dalam perbicaraan kes SRC pada Februari 2020 berkata kerajaan Malaysia melalui Encik Najib memohon sumbangan derma daripada Arab Saudi dan bukan ditawarkan oleh negara berkenaan.

Menurut Encik Jamil Khir, beliau tahu mengenai permohonan itu tetapi perkara berkenaan tidak dibincangkan di Kabinet kerana tidak termasuk dalam urusan pentadbiran.

Saksi pembelaan itu berkata, sebab sumbangan daripada Arab Saudi itu tidak dibincangkan secara umum adalah kerana ia diberikan kepada Encik Najib secara peribadi, lapor BH Online selanjutnya.

Katanya lagi, beliau merasakan ia sumbangan peribadi yang diperbolehkan dalam konteks peruntukan undang-undang negara dan berikutan kemungkinan itu, ia tidak menjadi perbincangan.

Encik Najib, 70 tahun, berdepan empat tuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$659 juta) dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita