Skip to main content

Dunia

Pegawai polis Jakarta dikenakan tindakan disiplin kerana peras wang peserta pesta muzik

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai polis Jakarta dikenakan tindakan disiplin kerana peras wang peserta pesta muzik

Gambar: @djakartawarehouseproject/Instagram

Diterbitkan : 27 Dec 2024 06:03PM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 06:04PM
JAKARTA: Polis Jakarta telah menugaskan semula 34 pegawai dalam kes terbaharu berhubung dakwaan berlaku penganiayaan terhadap para peserta pesta muzik tarian bulan ini.

Insiden itu menyaksikan 18 pegawai ditahan dan permohonan maaf secara terbuka daripada seorang menteri.

Seramai 18 yang ditahan akan menghadapi perbicaraan etika minggu depan, dan merupakan antara 34 yang ditugaskan semula, menurut akhbar tempatan Kompas.

Ketua Polis Jakarta Karyoto mengumumkan penugasan semula itu dalam surat pekeliling pada Khamis (26 Dis). Ia menjejas pegawai berpangkat rendah dan pertengahan terutamanya daripada unit antidadah, lapor akhbar Jakarta Globe.

Walaupun siasatan dalaman sedang dijalankan terhadap tingkah laku polis di pesta Djakarta Warehouse Project yang diadakan di Jakarta Pusat dari 13 hingga 15 Dis, surat pekeliling itu tidak secara jelas merujuk kepada pesta tersebut.

Tindakan tegas terhadap penguat kuasa undang-undang diambil selepas polis menerima aduan daripada para netizen yang mendakwa bahawa para pegawai memeras wang di pesta tersebut.

Acara itu dihadiri lebih 10,000 orang dari lebih 52 negara, menurut penganjur konsert Ismaya Live. Kira-kira 450 pegawai polis telah dikerahkan, lapor Jakarta Globe.

Menurut beberapa akaun online, para pegawai telah memeras wang dengan memaksa para peserta menjalani ujian dadah dan mengugut akan mendakwa mereka dengan tuduhan jenayah walaupun hasil ujian mereka negatif.

Seorang pengguna X @Twt_Rave mendakwa pada 17 Dis bahawa "lebih 400 rakyat Malaysia" menjadi mangsa pemerasan polis Indonesia dan jumlah itu dianggarkan RM9 juta (AS$2 juta).

Tetapi menurut siasatan yang dijalankan oleh Divisi Profesi dan Pengamanan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Propam), yang menyelia penguatkuasaan disiplin dan undang-undang anggota polis, seramai 45 rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerasan wang semasa acara itu.

Ketua Hal Ehwal Dalam Negeri Polis Negara Inspektor Jeneral Abdul Karim juga mengesahkan bahawa 2.5 bilion rupiah (AS$153,977) telah dirampas "sebagai bukti" daripada para pegawai polis yang dituduh menakut-nakutkan para peserta.

"Kami akan mengambil tindakan tegas jika mereka terbukti bersalah," katanya semasa sidang media pada Selasa. Polis terbabit adalah dari divisyen berbeza di Jakarta Pusat dan Polis Metropolitan Jakarta, tambahnya.

Jika didapati bersalah atas pelanggaran etika yang serius, para pegawai boleh dipecat daripada pasukan polis, lapor Jakarta Globe. Encik Abdul Karim juga membayangkan kemungkinan menjalankan siasatan jenayah berasingan.

Menteri Pariwisata Indonesia Widiyanti Putri Wardhana telah memohon maaf atas insiden itu, yang disifatkannya sebagai satu hambatan dalam usaha pemerintah untuk mempromosikan Indonesia sebagai hab pelancongan bertaraf dunia.

“Kami berharap ini menjadi pengajaran penting untuk memastikan insiden seperti itu tidak berulang lagi, memelihara imej positif Indonesia di pentas global,” kata Cik Widiyanti pada Isnin.

Penganjur konsert Ismaya Live turut memohon maaf di media sosial pada 18 Dis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara itu.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita