Pegawai polis Britain dipenjara seumur hidup bunuh wanita di London
Seorang pegawai polis Britain hari ini (30 Sep) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa pengampunan atas pembunuhan Sarah Everard yang dilakukan ketika mangsa berjalan pulang pada waktu malam selepas mengunjungi rakan-rakannya di London Selatan.

Tunjuk perasaan di luar mahkamah Old Bailey, London pada 29 Sep 2021 semasa perbicaraan pegawai polis Wayne Couzens atas pembunuhan Sarah Everard (Gambar: Tolga Akmen/AFP)
LONDON: Seorang pegawai polis Britain hari ini (30 Sep) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa pengampunan atas pembunuhan Sarah Everard yang dilakukan ketika mangsa berjalan pulang pada waktu malam selepas mengunjungi rakan-rakannya di London Selatan.
Kes itu mencetuskan tunjuk-tunjuk perasaan berhubung keganasan lelaki terhadap wanita.
Wayne Couzens, 48 tahun, seorang pegawai yang berkhidmat di London dan mengawal premis-premis diplomatik, mengaku bersalah atas tuduhan membunuh, merogol dan menculik.
Mahkamah Old Bailey di London diberitahu, Couzens menyalahgunakan jawatannya sebagai seorang pegawai polis untuk menahan dan menculik mangsa. Hukuman seumur hidupnya bermakna dia tidak mempunyai peluang untuk dibebaskan.
Dia menculik Everard, 33 tahun, masuk ke dalam sebuah kereta sewa ketika wanita itu berjalan pulang dari rumah rakannya di London Selatan pada 3 Mac. Mayat wanita itu ditemui di kawasan hutan sekitar 80 kilometer di tenggara England.
Laporan bedah siasat menyimpulkan bahawa mangsa mati akibat tekanan pada bahagian leher.
"Wayne Couzens memperlakukannya dengan bagitu keji. Perbuatannya itu sangat kejam," kata Nick Price dari Khidmat Pendakwaan Diraja.
"Kita semua merasa dikhianati kerana Couzens menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai polis untuk melakukan jenayah keji tersebut. Kita semua sepatutnya boleh bebas berjalan-jalan dengan selamat."
Pembunuhan itu mencetuskan tunjuk perasaan dalam kalangan orang ramai dan kemarahan daripada kaum wanita yang menceritakan pengalaman mereka sendiri dan menzahirkan rasa takut untuk keluar bersendirian pada waktu malam.
Couzens dijatuhi hukuman selepas perbicaraan dua hari.
Seorang saksi melihat Everard digari sebelum penculikannya dan polis yang menyiasat kes itu menyatakan bahawa Couzens mungkin menggunakan protokol COVID-19 sebagai alasan untuk menangkapnya secara palsu sebelum membunuhnya.
"Kehidupan kami tidak akan pernah sama lagi. Kami sepatutnya keluarga lima beranak, tetapi sekarang kami hanya berempat," kata ibu Everard, Susan, dalam pernyataan kesan, yang dibacakan di mahkamah semasa perbicaraan.
"Kematiannya meninggalkan kekosongan besar dalam hidup kami yang tidak akan dapat diisi."
Badan pengawas polis Britain sedang meneliti kegagalan polis untuk menyiasat insiden pendedahan lucah yang dikaitkan dengan Couzens pada 2015 dan dua lagi tuduhan seperti itu pada Februari tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.