Skip to main content

Dunia

Pegawai PMO, MoF, ahli BN minta saya lindungi Najib, kata bekas CEO 1MDB

Semasa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) heboh diperkatakan pada 2015, ramai orang termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi tumpuan mengenai idea untuk melindungi Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai PMO, MoF, ahli BN minta saya lindungi Najib, kata bekas CEO 1MDB

Encik Shahrol Azral Ibrahim Halmi. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 07:41AM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 07:45AM

KUALA LUMPUR: Semasa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) heboh diperkatakan pada 2015, ramai orang termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi tumpuan mengenai idea untuk melindungi Najib Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Khamis (3 Sep).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Encik Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata selain Jho Low, pegawai PMO yang turut memberi idea melindungi bekas perdana menteri itu ialah Encik Ahmad Farid Ridzuan dan Encik Amhari Efendi Nazarudin.

Encik Ahmad Farid bertanggungjawab terhadap imej Najib pada masa itu manakala Encik Amhari merupakan pegawai khas Najib.

Perkara ini dinyatakan saksi pendakwaan kesembilan itu semasa pemeriksaan semula oleh ketua pasukan pendakwaan Encik Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion (S$0.75 billion) dana 1MDB.

Encik Shahrol Azral berkata pegawai Kementerian Kewangan (MOF) juga diingatkan dengan idea "perlu melindungi PM".

"Kebanyakan mereka yang pernah saya berinteraksi, termasuk Encik Hasan Arifin yang merupakan pengerusi PAC pada masa itu, memberi tumpuan kepada idea untuk melindungi perdana menteri (ketika itu)," katanya.

Semasa disoal lebih lanjut oleh Sri Ram sama ada beliau mengenali perunding perhubungan awam (PR) Najib, Paul Stadlen, saksi itu berkata "ya".

"Dia diperkenalkan kepada saya oleh Jho Low. Dia adalah pegawai PR bos (merujuk kepada Najib). Dia menguruskan PR dan persepsi awam. Saya berjumpa dengannya di Putrajaya Marriott Hotel. Paul juga tegas ketika saya mengadakan perbincangan singkat dengannya mengenai melindungi PM,” kata Encik Shahrol Azral.

Menjawab soalan lain oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mengenai perkara apa yang mereka lindungi Najib, Encik Shahrol Azral berkata ia adalah mengenai reputasi yang terjejas kerana akhbar Wall Street Journal menyiarkan berita berhubung isu 1MDB.

Dilaporkan sebelum ini bahawa sebelum pendengaran PAC pada 2015, satu pertemuan berlangsung dengan objektif untuk melindungi PM diadakan di rumah Farid di Sri Hartamas dan antara yang hadir adalah anggota BN, Encik Abdul Rahman Dahlan.

Encik Shahrol Azral berkata beliau tidak mendapat faedah daripada wang yang didakwa diambil daripada dana negara itu.

Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah dan semasa siasatan, Najib, adalah antara yang mendapat faedah bersama Jho Low, pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang, peguam 1MDB Jasmine Loo, pengasas bersama PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dan rakan-rakan Jho Low yang lain.

Awal dari itu, semasa pemeriksaan balas, peguam utama Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah berkata Shahrol Azral boleh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah (CBT) semasa menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Namun Encik Shahrol Azral, tidak bersetuju.

Najib, 67 tahun, berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$0.75 bilion) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita