Skip to main content

Dunia

Pegawai perubatan lapor kematian berkait virus di Carikan Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai perubatan lapor kematian berkait virus di Carikan Gaza

Seorang lelaki berjalan berhampiran khemah-khemah di mana penduduk Palestin yang dipindahkan berlindung, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza, di Deir Al-Balah, di bahagian tengah Carikan Gaza, pada 22 Oktober 2025. (Gambar: Reuters/Mahmoud Issa)

Diterbitkan : 20 Jan 2026 06:05AM Dikemas Kini : 20 Jan 2026 06:06AM
GAZA: Para pegawai perubatan di Carikan Gaza pada Isnin (19 Jan) memaklumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan sedang merekodkan kematian pada setiap hari dalam kalangan penduduk akibat penularan sejenis virus di wilayah pesisir pantai itu yang dihuni lebih dua juta orang, lapor Xinhua.

Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa di Gaza City, Mohammed Abu Salmiya, memberitahu stesen radio rasmi Voice of Palestine bahawa “virus yang menular di wilayah itu sejak awal musim sejuk telah menyebabkan kematian harian, bukan sahaja dalam kalangan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik, tetapi juga wanita hamil dan kanak-kanak.”

Encik Mohammed tidak menyatakan jumlah kematian atau jenis virus secara terperinci, namun beliau menyebut mengenai kematian seorang doktor dan seorang gadis berusia 18 tahun beberapa hari lalu akibat komplikasi jangkitan itu.

Beliau menjelaskan bahawa jangkitan virus berkenaan disertai dengan gejala serius termasuk demam panas, sakit sendi teruk dan sakit kepala, yang boleh membawa kepada radang paru-paru teruk dan bagi sesetengah kes, menyebabkan kematian.

“Tidak kira sama ada ia adalah jujukan koronavirus yang bermutasi atau influenza bermusim, masalahnya ialah kami tidak mempunyai ujian makmal untuk mengenal pasti puncanya.”

Beliau berkata virus itu “menjadi ancaman sebenar kepada nyawa penduduk,” sambil menyatakan bahawa tempoh pengeraman kini meningkat kira-kira dua minggu berbanding seminggu sebelum ini.

“Pasukan perubatan di Carikan Gaza sedang menyaksikan peningkatan berterusan kes sedemikian di jabatan kecemasan hospital, sekali gus menambah beban kepada sistem kesihatan yang sudah pun tenat dan serba kekurangan,” katanya lagi.

“Kemerosotan imuniti keseluruhan penduduk akibat kebuluran yang melanda wilayah itu serta kehidupan dalam khemah usang yang tidak mampu melindungi daripada cuaca sejuk telah memburukkan lagi keadaan yang sememangnya sudah tenat," tambah pengarah itu.

Sementara itu, pakar pulmonologi di Carikan Gaza, Mohammed Abdel Moneim, berkata virus berkenaan “bukanlah baharu, tetapi kini lebih ganas berbanding sebelumnya, dan gejala paling lazim ialah demam panas, sesak nafas, batuk teruk dan sakit tekak.”

Dalam satu kenyataan media, Encik Mohammed Abdel Moneim menjelaskan bahawa pasukan perubatan boleh mengenal pasti individu yang dijangkiti virus itu melalui imbasan x-ray yang menunjukkan keradangan teruk pada paru-paru, yang boleh membawa maut.

Beliau menambah bahawa penduduk hidup dalam keadaan bersesak-sesak di kem-kem yang menjadi perlindungan sementara dan langkah perlindungan diri seperti pemakaian pelitup, penjagaan kebersihan serta langkah menghapuskan jangkitan juga tidak dapat diamalkan.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita