Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pegawai Perbendaharaan Amerika ke SG, Malaysia bincang sekatan

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai Perbendaharaan Amerika ke SG, Malaysia bincang sekatan

(Gambar: AFP/CHIP SOMODEVILLA)

WASHINGTON: Pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat akan ke Singapura dan Malaysia minggu depan, dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan sekutunya, selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.

Sumber enggan dikenali yang biasa dengan perkara itu memberitahu Reuters, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan sekutunya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.

Semasa lawatan itu, yang pertama kali dilaporkan Reuters, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson, dijangka membincangkan kebimbangan Amerika dan risiko sekatan ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, Peguam Perbendaharaan Amerika Syarikat, Neil MacBride, juga akan menyertai kunjungan itu, yang dibuat ketika Amerika meningkatkan tumpuannya terhadap pembiayaan 'pengganas' melalui Asia Tenggara.

Ini termasuk melalui usaha mengumpul dana dan penjualan minyak Iran yang diharamkan, tambah sumber tersebut.

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat pada Disember lalu mengenakan sekatan ke atas empat syarikat berpangkalan di Malaysia yang didakwanya sebagai pihak yang menyokong pengeluaran dron Iran.

Washington baru-baru ini mengenakan sekatan lanjut yang menyasarkan Iran, termasuk ke atas dron Iran yang digunakan oleh Rusia dalam perang di Ukraine, ketika Amerika berusaha meningkatkan tekanan ke atas Tehran selepas serangannya ke atas Israel.

Ketika di Singapura, Encik Nelson akan membincangkan penguatkuasaan had harga yang diterajui G7 ke atas minyak Rusia, serta memotong penghantaran barang dwiguna kritikal, yang mempunyai tujuan awam dan ketenteraan, dedah sumber itu.

Amerika dan sekutunya mengenakan sekatan ke atas beribu-ribu sasaran sejak Rusia menyerang negara jiran Ukraine, yang menyaksikan puluhan ribu orang terbunuh dan bandar-bandar musnah, lapor Berita Harian Malaysia.

Singapura selaku hab perkapalan utama, menyaksikan penyedia insurans serta pembekal perkhidmatan maritim lain yang beroperasi di Singapura memberi amaran mengenai pengelakan had harga minyak Rusia.

Mereka mengadu sukar untuk mengesahkan bahawa kertas kerja yang menjanjikan minyak dibeli pada atau di bawah had AS$60 (S$80) itu adalah tepat.

Had harga G7 ke atas minyak mentah Rusia, yang dikenakan pada Disember 2022, bertujuan untuk mengurangkan keuntungan diperoleh Rusia bagi membiayai perang di Ukraine.

Ia dilakukan dengan hanya membenarkan insurans dan perkhidmatan lain yang dibekalkan Barat dihadkan pada kargo minyak berharga di bawah AS$60 (S$80) setong.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan