Pegawai PBB suarakan 'keprihatinan mendalam' berhubung ketegangan kartun Nabi Muhammad
Ketua badan anti-ekstremisme PBB melahirkan "keprihatinan mendalam" pada Rabu (28 Okt) mengenai ketegangan yang kian meningkat berkaitan kartun satira Nabi Muhammad, sambil menggesa orang-orang dari berlainan agama dan pandangan politik untuk "saling menghormati" antara satu sama lain.
Bandar Paris, Perancis. (Gambar: Ludovic Marin/AFP)
NEW YORK: Ketua badan anti-ekstremisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan "keprihatinan mendalam" pada Rabu (28 Okt) mengenai ketegangan yang kian meningkat berkaitan kartun satira Nabi Muhammad, sambil menggesa orang-orang dari berlainan agama dan pandangan politik untuk "saling menghormati" antara satu sama lain.
Kenyataan oleh Encik Miguel Angel Moratinos - yang mengetuai Perikatan Peradaban Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - dibuat menyusuli kemarahan yang semakin meningkat di negara-negara Islam berhubung tindak balas Perancis terhadap kejadian seorang guru dipenggal kepalanya setelah menunjukkan kepada murid-muridnya gambar-gambar tersebut semasa mengajar kelas mengenai kebebasan bersuara.
Presiden Emmanuel Macron mempertahankan sekeras-kerasnya penerbitan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad itu atas alasan kebebasan bersuara, yang mencetuskan bantahan di sebahagian negara Islam serta kempen untuk memboikot produk-produk Perancis.
Wakil Tertinggi PBB itu "mengikuti perkembangan tersebut dengan keprihatinan mendalam terhadap meningkatnya ketegangan dan ketaksuban yang dicetuskan oleh penerbitan karikatur satira yang menggambarkan Nabi Muhammad," menurut kenyataan itu.
"Karikatur itu juga mencetuskan tindakan keganasan terhadap orang awam yang tidak bersalah yang diserang semata-mata kerana agama, kepercayaan atau kaum etnik mereka," kata Encik Moratinos dalam kenyataan itu, tanpa secara terbuka merujuk kepada tindakan Encik Macron mempertahankan gambar-gambar tersebut.
"Menghina agama dan simbol suci keagamaan menimbulkan kebencian dan pelampauan ganas yang menyebabkan perpecahan masyarakat," katanya memberi amaran.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.