Pegawai khas bekas PM M'sia buat laporan polis berita palsu kematian Pak Lah
Jefridin Atan, Pegawai Khas bekas perdana menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi, hari ini (9 Ogos) berkata beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas PM itu.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi. (Gambar fail: Saeed Khan/ AFP)
KUALA LUMPUR: Jefridin Atan, Pegawai Khas bekas perdana menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi, hari ini (9 Ogos) berkata beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas PM itu.
Encik Jefridin berkata beliau memandang serius berberhubung mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Putrajaya.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat. Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.
Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya ringkas kepada Bernama.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Encik Abdullah, Teoh Ai Hua ketika dihubungi berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan Pak Lah di kediamannya baru-baru ini.
"Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari, saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian,” kata Teoh yang kini merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Hari ini, sekali lagi netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Pak Lah.
2 Ogos lepas, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Encik Jefridin yang mewakili Pejabat Encik Abdullah Ahmad Badawi menafikan berita tular berhubung keadaan kesihatan bekas pemimpin negara itu dan menyatakan Pak Lah berada dalam keadaan sihat.
Encik Abdullah Badawi, 81, adalah Perdana Menteri Malaysia kelima dari tahun 2003 hingga 2009.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.