Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pegawai kanan SPRM dituduh seleweng RM25 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai kanan SPRM dituduh seleweng RM25 juta

(Gambar: Azneal Ishak/Malaysiakini)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (4 Jan) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyelewengkan barang bukti berupa wang tunai bernilai RM25 juta (S$8 juta). 

Shahrum Nizam Baharuddin, 40 tahun, tenang ketika membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semasa prosiding terbuka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan jenayah tersebut membabitkan mata wang Amerika berjumlah AS$6.94 juta (S$9.4 juta).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di aras 14 Blok C, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya antara 17 Dis 2018 dengan 9 April 2019.

Jika sabit kesalahan Shahrum Nizam berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat serta denda, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan 18 Feb ini untuk sebutan semula kes tersebut. Dia juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pihak pendakwaan hari ini turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shahrum Nizam akan dihadapkan dengan 110 lagi pertuduhan baru membabitkan kes pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak mendedahkan bila pertuduhan baru itu akan dihadapkan kepada tertuduh.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pegawai kanan SPRM akan dituduh hari ini berhubung kecurian wang tunai yang dikaitkan dengan satu kes rasuah yang besar. 

Pada Sep lalu, SPRM menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap "seorang bekas ketua jabatan."

Wang tunai yang hilang itu disita SPRM pada 2018 semasa siasatan dijalankan ke atas bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta (S$16 juta) milik kerajaan. SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan pada April tahun ini.

Ekoran itu, dia pergi ke SPRM bagi menuntut wang tunai yang disita dan mendapati sejumlah RM25 juta (S$8 juta) sudah hilang.

Pada bulan sama (Sep) tahun lalu, SPRM mengumumkan yang ia menyelesaikan siasatannya terhadap dakwaan kehilangan wang bukti RM25 juta itu dan sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan