Pegawai AS cedera dalam serangan bom Sri Lanka meninggal dunia di hospital S'pura
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang cedera akibat siri serangan nekad di Sri Lanka pada Hari Easter meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura, menurut para pegawai pada Rabu (8 Mei).

Seramai 258 orang, termasuk 45 warga asing, maut akibat serangan-serangan yang dilancarkan di Sri Lanka pada Hari Easter. (Gambar: AFP)
COLOMBO: Seorang pegawai Amerika Syarikat yang cedera akibat siri serangan nekad di Sri Lanka pada Hari Easter meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura, menurut para pegawai pada Rabu (8 Mei).
Kematiannya membawa jumlah keseluruhan korban akibat serangan-serangan tersebut kepada 258, termasuk 45 warga asing.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Sri Lanka, Alaina Teplitz, memberi penghormatan terakhir kepada Chelsea Decaminada yang cedera parah apabila dua pengebom nekad melancarkan serangan di hotel mewah Shangri-La di Colombo pada 21 April.
"Kami memberi penghormatan kepada Chelsea, para mangsa korban lain dan mereka yang cedera dengan bersatu bersama Sri Lanka dan negara-negara sedunia untuk menunjukkan perpaduan ketika berdepan dengan pengganasan," kata Cik Teplitz.
Para pegawai berkata Cik Decaminada diterbangkan ke Singapura bagi menjalani rawatan, namun mendiang meninggal dunia akibat kecederaannya pada hujung minggu lalu.
"Sedang kami berdukacita atas pemergiannya, kami mesti terus berusaha untuk menentang pengganasan di merata dunia, menurut jabatan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Wilbur Ross dalam satu kenyataan.
Decaminada, seorang lulusan dari Universiti Duke, merupakan seorang kakitangan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat dan ditugaskan ke Sri Lanka apabila serangan bom berlaku.
Kumpulan militan ISIS mengaku bertanggungjawab atas pertumpahan darah itu, yang turut dikaitkan dengan sebuah kumpulan pelampau tempatan yang dikenali sebagai Thowheeth Jama'ath Nasional.
Tiga hotel mewah dan tiga gereja Kristian disasarkan oleh para pengganas. Hampir 500 orang cedera akibat serangan-serangan tersebut, yang merupakan serangan bom paling dahsyat yang pernah berlaku dalam masa sehari di negara yang terletak di Lautan Hindi itu.
Sebelum ini, kementerian luar Sri Lanka menyatakan bahawa 44 warga asing maut manakala lagi 10 yang lain masih hilang.
Menurut pihak berkuasa negara itu, ia sudah memberkas atau membunuh semua militan yang bertanggungjawab atas serangan-serangan nekad tersebut.
Sungguhpun demikian, perdana menteri Sri Lanka berkata pada Selasa (7 Mei) bahawa negara itu masih lagi berdepan dengan ancaman "pengganasan global".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.