Skip to main content

Dunia

Pegawai awam Johor terima insentif khas 2 bulan gaji

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai awam Johor terima insentif khas 2 bulan gaji

Persekitaran majlis pelancaran '1 Masjid 1 Polis'. (Gambar: Polis Johor/ Facebook)

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengumumkan pemberian insentif khas kecemerlangan kepada penjawat awam negeri berjumlah dua bulan gaji sebagai tanda penghargaan kepada dedikasi dan komitmen golongan berkenaan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian bantuan itu turut melibatkan penjawat awam kerajaan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

“Semoga insentif ini menjadi motivasi untuk meningkatkan kecemerlangan dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini (21 Nov).

Beliau juga mengumumkan elaun pegawai masjid dan surau yang dibayar kerajaan negeri dinaikkan 100 peratus membabitkan peruntukan RM18.1 juta (S$5.4 juta), dengan kali terakhir elaun itu dinaikkan 12 tahun lalu.

“Sebanyak RM3.5 juta (S$1.1 juta) juga diperuntukkan bagi pemberian insentif RM500 (S$150) sekali bayar kepada 6,970 pegawai masjid dan surau yang disalurkan kepada 56 penggerak DUN dan akan dibayar Mac tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Encik Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan Johor Super Lane (JSL) di Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia–Johor (IMFC–J) sebagai sebuah platform penyeragaman proses dan peningkatan memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ).

“JSL ialah manifestasi penambahbaikan kepada inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang telah menjadi tanda aras, rujukan dan ikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Johor dan juga di beberapa negeri, seperti Melaka dan Selangor. Malah, perkara ini disebut Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2025.

“Antara penambahbaikan JSL ialah penjimatan masa proses pemajuan tanah yang belum mempunyai Kebenaran Merancang Susun Atur dipendekkan daripada 37 bulan kepada 13 bulan sahaja. Bahkan, lesen operasi perniagaan pula akan dikeluarkan dalam tempoh satu jam selepas Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikemukakan,” katanya.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata sejumlah RM1.8 juta (S$540,000) akan diperuntukkan bagi meneruskan program Anak Angkat Makmur Johor untuk membela nasib 1,200 kanak-kanak dan remaja yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disasarkan dibina pada tahun depan di semua daerah melalui kerjasama kerajaan negeri dan pemaju.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan insentif kepada atlet-atlet Johor yang telah mengharumkan nama negeri pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita