Skip to main content

Dunia

Pegawai agama M'sia doa tambah isteri secara berjemaah, terima kecaman teruk netizen

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai agama M'sia doa tambah isteri secara berjemaah, terima kecaman teruk netizen

Gambar: Twitter @RajaMohdShahrim

Diterbitkan : 10 Oct 2022 10:04PM Dikemas Kini : 10 Oct 2022 10:42PM
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang individu dipercayai pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Malaysia yang berseloroh ketika membaca doa dalam majlis tertutup anjuran jabatan berkenaan.

Menerusi video dimuat naik semula pengguna Twitter dikenali @RajaMohdShahrim, dilihat seorang lelaki bersongkok berdoa secara berjemaah memohon agar diberikan rezeki yang mencurah bagi melayari bahtera kehidupan selain menambah isteri lebih daripada seorang, lapor Sinar Harian.

Lebih mengejutkan, pegawai berkenaan dalam doanya memohon kepada Allah agar jabatan Islam menjadi jabatan yang terbaik serta melahirkan suami yang paling ramai poligami pada jabatan tersebut.

Doa tersebut dilakukan secara berjemaan dan ternyata ia diaminkan oleh ramai individu hadir sehingga mengundang kritikan netizen, seperti dinukil daripada Sinar Harian.

Ramai mempersoalkan individu terbabit mendoakan sebegitu kerana ia seolah-olah mencemarkan nama baik mereka yang terlibat dengan keagamaan.

Sementara itu Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan mendapati bacaan doa tersebut adalah di luar daripada teks doa yang ditetapkan pihak penganjur, lapor Sinar Harian.

“Justeru tindakan nasihat dan teguran diberikan terhadap pegawai berkenaan yang merupakan Ketua Imam di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan agar mematuhi garis panduan dan teks doa yang ditentukan oleh pihak Jawi pada masa akan datang,” katanya.

Ia adalah bagi memastikan profesionalisme pegawai dalam melaksanakan tugasan agar imej sesebuah institusi Islam sentiasa terpelihara.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita