PDRM tingkat kawalan keselamatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026
GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan keselamatan di seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata langkah itu sebahagian daripada rutin operasi polis yang dilaksanakan setiap kali musim perayaan atau penganjuran acara berskala besar.
“Setiap kali musim perayaan seperti tahun baharu, memang kawalan keselamatan akan ditingkatkan, tambahan pula tahun ini ialah Tahun Melawat Malaysia, jadi ia memang sebahagian daripada rutin operasi.
“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang. Insya-Allah, isu keselamatan dipantau dan sekiranya perlu, tindakan akan diambil,” katanya kepada media selepas menyertai acara kayuhan basikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026' di Queensbay, di Pulau Pinang.
TMM2026 secara rasminya membuka tirai tepat 12.00 tengah malam pada 1 Januari lalu menerusi penganjuran 'Visit Malaysia Countdown Festival 2026', yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kempen TMM2026 digerakkan berteraskan lima tunggak utama, iaitu kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.