Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PBS, PH sokong Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di DUN Sabah

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pakatan Harapan (PH) akan menyokong Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti apabila ia dibentangkan pada Persidangan DUN Sabah.

Presiden PBS Maximus Ongkili berkata Ketua Menteri Hajiji Noor dan kerajaan negeri menyatakan bahawa rang undang-undang itu adalah dalam agenda seterusnya persidangan DUN.

“Kami (tujuh ADUN PBS) akan sokong. Kelulusan undang-undang anti lompat parti adalah kemenangan bagi PBS, apa jua yang mengukuhkan kesucian serta kesetiaan ADUN kepada parti dan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan jelajah mesra sempena Tahun Baru Cina di Gaya Street pada Ahad (15 Jan).

Semalam, Ewon Benedick yang secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), mencadangkan rang undang-undang anti lompat parti itu dibentangkan pada persidangan DUN, Mac ini.

ADUN Kadamaian itu berkata beliau telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Hajiji dan kerajaan negeri kerana disifatkan penting bagi mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi PH Sabah Christina Liew yang ditemui selepas jelajah mesra itu berkata tujuh ADUN dari PH juga akan menyokong rang undang-undang berkenaan.

“Apa jua keputusan kepimpinan parti, saya pasti Ketua Menteri (Hajiji) tahu apa yang perlu dilakukan. Jika kerajaan memulakannya (membentangkan rang undang-undang itu), kita akan sokong. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan