PBB tuduh Israel sekat akses bantuan ke Gaza; 2.3 juta penduduk di ambang kebuluran

Lori-lori meneruskan transit melalui lintasan komersil Karm Abu Salem, atau Kerem Shalom, di Rafah di selatan Carikan Gaza pada 10 Sep 2023 ketika Israel menamatkan penggantungan eksport dari wilayah Palestin. (Gambar: SAID KHATIB / AFP)
Walaupun ia bukan satu perisytiharan rasmi, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia PBB Cindy McCain berkata - dalam wawancara bersama NBC News yang disiarkan pada Ahad (5 Mei) - bahawa berdasarkan "keadaan di lapangan": Terdapat kebuluran, kebuluran besar-besaran, di bahagian utara, dan keadaan yang sama akan menjejas bahagian selatan."
Pemerintah Israel bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas kenyataan Cik McCain.
Ketua Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA), Philippe Lazzarini, pada Ahad menuduh Israel terus menafikan akses bantuan PBB ke Gaza sedang ia cuba mencegah kebuluran.
“Dalam tempoh 2 minggu lalu, kami telah merekodkan 10 insiden yang melibatkan tembakan ke arah konvoi kami, penahanan kakitangan PBB termasuk membuli, melucutkan pakaian mereka, ugutan menggunakan senjata dan kelengahan yang lama di pusat pemeriksaan yang memaksa konvoi bergerak dalam keadaan gelap-gelita atau dipaksa untuk menggugurkan penghantaran bantuan,” tulis Encik Lazzarini pada wadah X.
Pemerintah Israel tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas kenyataan Encik Lazzarini.
Encik Lazzarini turut menyeru "Hamas dan kumpulan-kumpulan bersenjata lain supaya menghentikan sebarang serangan ke atas lintasan kemanusiaan, mengelak daripada mengalihkan bantuan dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan."
Kumpulan-kumpulan bersenjata pada Ahad (5 Mei) mengaku bertanggungjawab atas serangan yang menyebabkan bantuan kemanusiaan tersekat di lintasan utama ke Gaza.
Laporan yang disokong PBB pada Mac menyatakan bahawa kebuluran akan berlaku dan berkemungkinan menjelang Mei di utara Gaza, dan boleh merebak ke seluruh wilayah tersebut menjelang Julai.
Kebuluran dinilai sebagai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan penduduk mengalami kekurangan makanan yang melampau, dengan satu daripada tiga kanak-kanak kekurangan zat makanan akut dan dua orang daripada setiap 10,000 orang mati setiap hari akibat kebuluran atau kekurangan zat makanan dan penyakit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.